RUKUN IMAN 1 – PERCAYA KEPADA ALLAH


Tauhid Dalam Fahaman

Tauhid berdasarkan kepada “la ilaha illa’ Llah, Muhammadur-Rasulullah”: “Tidak ada tuhan yang wajib disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, dan Muhammad adalah Rasulullah”. Atau “asyhadu an la ilaha illa’Llah, wa asyhadu anna Muhammadar-Rasulullah”:

Aku menyaksikan bahawa tiada tuhan yang wajib disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah Rasulullah.

Ianya diwajibkan dalam ayat, antaranya,

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ ﴿١٩﴾

Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat). – Surah Muhammad: Ayat 19.

Penyaksian itu adalah hasil daripada keyakinan iman tanpa syak dan ragu tentang hakikat keTuhanan yang Maha Esa, yang merupakan paksi bagi segalanya. Keyakinan ini datang daripada ilmu dan juga kesedaran batin orang yang berkenaan yang disebutkan sebagai ilmul-yakin, atau ‘ainul-yaqin atau haqqul-yaqin. Ilmul-yaqin datang daripada tahap keyakinan yang timbul daripada ilmu berkenaan dengan kebenaran tauhid hasil daripada pengetahuannya, dengan berdasarkan bukti-bukti, samaada yang berifat nakli atau akli atau intelektuil. ‘Ainul-yaqin timbul daripada tahap tertentu dalam kesedaran batin berkenaan dengan hakikat tauhid. Haqqul-yaqin merujuk kepada pengenalan hakikat tauhid berdasarkan kepada “penyaksian batin” – musyahadah – tentang kebenaran itu yang tidak meninggalkan apa-apa keraguan lagi.

Keimanan tentang ketauhidan ini berkembang menjadi keimanan terhadap “rukun-rukun iman” yang lain- keimanan tentang para malaikat dengan tugas-tugasnya, para rasul a.s.s. dengan tugas-tugas mereka, kitab samawi dengan ajaran-ajarannya, terakhir ialah al-Qur’anul-Karim, tentang akhirat dan akhirnya qadha’ dan qadar.Semuanya dihuraikan oleh para ulama Ahlis-Sunnah dalam teks-teks usulud-din mereka, Allah memberi rahmat kepada mereka.

Keimanan terhadap Allah dan mentauhidkannya dengan huraian-huraian tentang sifat-sifatNya yang tidak terkira, dan kemudian dibicarakan sebagai kunci kepada pengenalanNya dua puluh sifat atau tiga belas, itu berdasarkan dalil-dalil akal atau dalil nakal, yang kita tidak bicarakan secara terperinci di sini. Bagaimanapun memadailah kalau kita sebutkan sifat-sifat itu – untuk memperbaharukan ingatan kita tentangnya – sebagai wujud, qidam atau sediakala, baqa’ atau kekal, menyalahi sekelian makhluk, berdiri sendiri, esa, hayat atau hidup, ilmu, qudrat atau kuasa, kehendak, mendengar, melihat, dan berkata-kata yang semuanya dirumuskan ulama berdasarkan Qur’an dan Sunnah, bukan sebagaimana dituduh oleh setengah pihak,daripada falsafah Yunani Purba; kemudian ditambah dengan perbincangan tentang sifat-sifat hal keadaanNya hidup, berilmu, berkuasa, berkehendak, mendengar, melihat dan berkata-kata.

Perbincangan tentang mentauhidkan Allah juga dilakukan dengan membicarakan nama-namaNya yang sembilan puluh sembilan itu dengan menyebut nama-namaNya: Allah, ar-Rahman, ar-Rahim, al-Malik, al-Quddus, as-Salam, al-Mu’min, al-Muhaimin, al-‘Aziz, al-Jabbar, al-Mutakabbir, dan seterusnya dengan huraian-huraian maknanya sebagaimana yang ada misalnya dalam “Tafsir al-Jamal” dalam huraiannya berkenaan dengan maksud ayat yang bererti: “Dan bagi Allah Sifat-Sifat Yang Paling Indah, maka kamu serulah Ia dengan menyebutnya …”.

Mentauhidkan Allah dan beriman kepada rukun-rukun iman yang lainnya sebagai natijah daripada beriman kepada ketauhidan Allah itu menimbulkan kesan dalam kehidupan manusia yang disebut dalam setengah hadith sebagai “cawangan-cawangan iman” (‘shu’ab al-iman’).Sebagai contoh dalam “Fathul-Bari” dihuraikan hadith:

الايمان بضع وستون شعبة والحياء شعبة من الايمان

Iman ada enam puluh lebih cawangannya, dan malu bertempat adalah satu cawangan daripada keimanan.

Dalam hadith sahih riwayat Bukhari yang lain dinyatakan keimanan itu lebih daripada tujuh puluh cawangan, dan yang tertingginya ialah mengucap “tiada tuhan melainkan Allah”, yang paling rendah sekali ialah membuang duri atau sesuatu yang menyakitkan dari jalan.

Dalam “Fahul-Bari” dalam memberi huraian berkenaan dengan “cawangan-cawangan” iman hasil daripada tauhid dan keyakikan iman, pengarangnya membahagikan kesan-kesan itu kepada beberapa bahagian seperti “amalan-amalan hati”. Dinyatakannya bahawa amalan-amalan hati terdiri daripada: keimanan terhadap Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, QadarNya, Hari Akhirat. Alam Kubur, Bangkit sesudah mati, Berhimpun di Akhirat, Hitungan amal, Neraca Timbangan Amal, Titian Sirat, Syurga, Neraka; kasih dan benci kerana Allah, kasihkan rasul, iktikad tentang keagungan Rasul dan kemuliannya, berselawat terhadapnya, mengikut sunnahnya, mengamallkan sifat ikhlas dalam amalan, tidak bersikap riya dalam amalan, meninggalkan kemunafikan, bertaubat, takut kepada Allah, berharap kepadaNya, bersyukur kepadaNya, menunaikan janji dan amanah semuanya, sabar, redha dengan ketetapan dan hukumNya, bertawakkal kepadaNya, bersikap dengan sifat kasih sayang (rahmah), tawadhu’, memuliakan orang tua, kasihkan orang muda,tidak takabur, tidak ‘ujub, tidak hasad dengki, tidak berdendam, tidak marah bukan pada tempatnya.

“Amalan lidah” terdiri daripada: berlafaz dengan kalimah tauhid, membaca Qur’an, mempelajari ilmu, mengajarkan ilmu, berdo’a, berzikir mengingat dan menyebut nama-nama Allah, beristighfar,dan menjauhi perbuatan dan percakapan yang sia-sia (ijtinab al-laghw).

“Amalan badan” disebutkan:berada dalam keadaan suci bersih dari segi lahir dan pada hukumnya, menjauhi najis-najis, menutup aurat, melakukan sembahyang yang wajib dan sunat, juga menunaikan zakat, membebaskan hamba abdi (boleh dikiaskan dengan keadaan moden dengan “hamba-hamba abdi ekonomi” dan sebagainya), mengamalkan sifat pemurah (al-jud), memberi makan kepada mereka yang memerlukannya, memuliakan para dhif, melakukan puasa yang wajib dan sunatnya, demikian pula menunaikan haji, dan umrahnya, melakukan tawaf, dan beriktikaf, berusaha untuk menghayati malam lailatul-qadar, berpindah untuk menyelamatkan agama bila itu dituntut oleh agama, berhijrah dari negeri syirik (dengan syarat-syaratnya), menunaikan nazar, bersungguh-sunguh menjaga iman dengan teguhnya, menunaikan kaffarah, mengawal diri daripada kejahatan dengan berkahwin, melaksanakan hak-hak keluarga, mentaati para ketua dan bersikap lemah lembut kepada para hamba (termasuk orang-orang bawahan).

Berkenaan dengan kehidupan dan pergaulan dengan orang ramai: mengikut jama’ah Muslimin, mentaati waliyul-amri, mendamaikan mereka yang berkelahi, berperang melawan mereka yang memberontak dan golongan Khawarij (yang menentang waliyul-amri), bertolong-bantu dalam melakukan kebaikan, menyuruh perkara-perkara yang baik dan melarang perkara-perkara yang mungkar, mengamalkan aturan-aturan jenayah berat mengikut Islam, melakukan jihad, termasuk ke dalamnya menjaga sempadan untuk menyelamatkannya daripada para seteru, menunaikan amanah-amanah, termasuk menunaikan “khumus” (dari rampasan perang), memberi orang berhutang, dan membayar hutang, memuliakan tamu, bergaul dengan akhlak yang baik (‘husn al-mu’amalah’), termasuk ke dalamnya menghimpunkan harta dari punca-punca yang halal, membelanjakan harta pada tempatnya yang hak, tidak bersikap membazir, dan tidak melampau-lampau dalam perbelanjaan (termasuk kalau sekarang “conspicuous consumerism”: berbelanja kerana menunjuk-nunjuk bukan kerana keperluan yang menasabah), menjawab orang memberi salam, mendoakan orang yang bersin, menahan diri daripada menyakiti orang lain, menjauhkan diri daripada kesia-siaan, membuang duri (atau apa-apa yang memudaratkan) dari jalan.

Beliau menyatakan mungkin cawangannya itu tujuh puluh sembilan sifat dengan mengambil kira menceraikan setengah daripada apa yang digandingkan dan tidak diasingkan.

Amalan-amalan, sifat-sifat serta sikap yang timbul itu semuanya daripada ketauhidan kepada Allah yang ada dalam diri manusia. Kesannya jelas kelihatan dalam kehidupan keluarga dan masyarakat serta negara dan umat bila ketauhidan itu mantap.

Kesan Tauhid Dalam Fahaman Orang Yang Beriman

Kalau dilihat dari segi yang berbeza, boleh disebutkan bahawa implikasi tauhid ke atas manusia dan kehidupannya boleh dilihat dari beberapa segi, antaranya ialah:

Dari segi fahamannya tauhid memaksudkan bahawa yang diyakini sebagai kebenaran tanpa tara ialah Keesaan Allah; tidak ada syak dan ragu lagi padanya. Buktinya samaada yang bersifat akli atau nakli menjadi dalil tentang kebenarannya; dalil dari pengalaman dan kesedaran batin itu merupakan bukti yang paling kuat untuk diri seseorang berpegang kepada kebenarannya. Itulah maksud tertinggi dari ayat yang bererti:

قُلْ هَـٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ ﴿١٠٨﴾

Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah Yusuf: Ayat 108).

Ini memberi paksi kepada manusia, peribadi, dan hidup serta tamadunnya. Ini boleh dimisalkan sebagai adanya tempat duduki yang tetap dan teguh, tidak kucar kacir, bukan tidak stabil.

Sebagai contoh kita boleh sebutkan bagaimana kita ini tetap atas kerusi, kerusi tetap demikian kerana ada lantai bangunan, bangunan itu tetap atas asasnya, asas bangunan itu tetap kerana ada bumi yang tetap, bumi tetap kerana ianya berada dalam sistem solar yang dengan gravitinya dan lain-lainnya menyebabkan ia tetap.Demikianlah manusia merasa tetap teguh dengan keyakinannya kepada tauhid; dengannya ia merasa tetap ada tempat berpijak bagi jiwa, hati dan akalnya.

Tauhid pada fahaman juga memaksudkan bahawa yang disembah dengan sebenarnya hanyalah Allah Yang Esa sahaja, tidak ada yang lain lagi. Penyembahan dalam erti pengabdian – ‘ubudiyyah – hanyalah untuk Allah sebagaimana yangg dinyatakan dalam al-Fatihah, “Engkaulah sahaja Yang kami sembah, dan kepada Engkalah sahaja kami meminta pertolongan”. Hakikat ini ternyata dalam ayat yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu”.

Fahaman tauhid yang mendalam menyebabkan tidak ada lagi kuasa-kuasa lain yang dinisbahkan Kuasa Tuhan padanya; hilang takhyul, fahaman syirik, dan sihir, hilang amalan bernujum yang disalahkan Syara’, dan hilang pemujaan yang dilarang Syara’ terhadap jin-jin dan lain-lainnya. Termasuk hilang pemujaan kepada perkara-perkara maknawi seperti akal, kecerdasan manusia, atau mana-mana aspek kepandaian atau ilmu manusia.Semuanya natijah daripada keyakinan terhadap KeEsaan Allah.

Tauhid pada fahaman ini memberi kepada insan matlamat hidup yang terakhir yang memberi makna kepada segala kegiatan. Manusia yang beriman kepada tauhid bertugas dan berusaha dalam konteks mencari keredhaan Allah di dunia ini, yang membawa kepada kebahagiaan yang kekal abadi. Ini jelas dalam pembacaan doa si mukmin selepas daripada takbir sembahyang, iaitu do’a yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku (termasuk perjuanganku, profesiku, perlaksanaan tugasku) adalah bagi Allah Tuhan Yang mentadbir sekelian alam”. Dengan ini tidak ada kekosongan atau kehilangan makna – “loss of meaning” – dalam hidupnya. Semuanya mendapat makna dalam konteks mencari keredhaan Tuhan. Dalam konteks seperti inilah Nabi s.a.w. menyatakan keheranannya tentang hidup si mukmin sampaikan bila kakinya terkena duripun ada mempunyai makna. Penyakit “kehilangan makna” tidak akan berlaku atas si mukmin yang berkesan keimanannya dalam membentuk jiwa dan kablbunya.

Keimanan tentang tauhid menjadikan si mukmin tidak putus asa dalam hidupnya walau bagaimamanapun teruknya cabaran yang dihadapi dan walau bagaimana negatifnya suasana yang dihadapi, sehinggakan kalau dilihat dari segi perkiraan duniawi tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan sekalipun, ia tidak berputus asa. Inilah antaranya yang dimaksudkan oleh ayat Qur’an yang bermaksud:

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ ﴿٨٧﴾

Jangan kamu berputus asa daripada pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat (atau pertolongan) Allah melainkan orang-orang kafir.  –  Surah Yusuf: Ayat 87.

Di sinilah tauhid memberi asas kepada aksiologi si mukmin, sehingga sistem nilainya lengkap dan tinggi.

Aksiologi Daripada al-Asma’-al-Husna

Tauhid pada fahaman menjadikan insan yang yakin kepada tauhid itu mendapat “peta” pembangungan peribadinya pada “Diri Tuhan Sendiri Dengan Sifat-SifatNya Yang Maha Sempurna dan Nama-NamaNya Yang Maha Indah” (al-Kamalat wa’l-Asma’ al-Husna). Maksudnya, sebagaimana yang dihuraikan antaranya dalam “Tafsir al-Jamal” dalam hubungan dengan hadith Tirmidi yang bermaksud: “Tuhanmu mempunyai sembilan puluh sembilan Nama, maka sesiapa yang membilangnya ia masuk ke dalam Syurga”. Maksudnya, antaranya, dihuraikan bahawa hendaklah insan yang beriman itu menjadikan peribadinya terbentuk mengikut pengajaran yang boleh didapati daripada maksud nama-nama Tuhannya.

Misalnya kalau Allah bersifat dengan sifat Kasihan Belas – dengan NamaNya al-Rahim – maka si mukmin sebagai hamba Tuhannya hendaklah bersifat dengan sifat kasihan belas pada paras manusiawinya. Dengan itu maka ia “hampir” kepada Tuhannya melalui sifat itu. Dengan itu ianya lebih hampir kepada kesempurnaannya sebagai manusia yang beriman. Kalau Tuhan bernama al-Malik – Raja dengan sifat-sifatNya sesuai dengan Nama “al-Malik” itu, maka hendaklah si hamba membentuk peribadi sesuai dengan kedudukan sebagai ”raja” yang menguasai dirinya supaya taat kepada Tuhan dan menjalankan KehendakNya, jangan membiarkan dirinya menjadi rendah dan berkhidmat kepada syaitan.

Allah bernama al-‘Alim – Yang Maha Mengetahui – maka manusia yang beriman hendaklah membentuk dirinya menjadi orang yang berilmu, yang mengenal Tuhannya, ajaran Tuhannya, dan mengetahui ilmu-ilmu lain dalam konteks ketauhidan Tuhannya serta mengetahui ilmu-ilmu untuk menjadikan dirinya dan hidupnya bermaruah dalam dunia ini. Dengan itu jadilah ianya hampir kepada Tuhannya melalui sifatnya berilmu itu.Kalau dikiaskan kepada bangsa, maka bangsa itu bangsa yang berilmu yang martabatnya mulia kerana ilmunya. Di sini keimanan kepada Tauhid membawa implikasi dalam bidang epistemologi atau faham ilmu dan aksiologi atau faham nilai yang sangat diperlukan kejelasannya.

Di sini kita lihat bagaimana kepentingan ilmu diberikan perhatian yang sangat pokok oleh para ulama Islam, seperti Imam al-Ghazali rd dan Ibn Khaldun rh antara yang sekian ramai itu. Dan Ibn Khaldun rh menghendaki supaya ahli ilmu itu mencapai kemahiran yang memuncak dalam bidang ilmunya sampai menjadi sebagai sepertri tabiat yang kedua bagi dirinya, seolah-olah seperti terbang burung di angkasa dan bernang ikan dalam air. Kata-kata bandingan itu bukan dari Ibn Khaldun rh tetapi dari penulis ini. Beliau menggunakan istilah “malakah” untuk mengungkapkan kemahiran tertinggi dalam ilmu itu.

Sebab sedemikian pentingnya ilmu ini maka Imam al-Ghazali rd menghuraikan bagaimana ahli ilmu yang berkhidmat dengan baik dalam pengembangan ilmunya berdamping diri dengan Tuhan – bertaqarrub- melalui kegiatannya itu; demikian pula pelajar yang mempalajari ilmu yang berguna – ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu umum kerana Tuhan dan kerana berkhidmat kepada umat dalam fardhu kifayah – bertaqarrub kepada Tuhan dalam kegiatan pembelajarannya.

Selain dari itu beliau menghuraikan bagaimana dalam konteks tauhid semuanya berkhidmat kepada Tuhan, mulai daripada ahli ibadat semata (‘abid), sampai kepada pengajar ilmu, penuntut ilmu, petugas menjaga keluarga (muhtarif), peribadi yang berkhidmat untuk masyarakat (walin), dan ahli tauhid taraf tertinggi yang tenggelam dalam pengalaman tauhidnya yang memuncak (muwahhid) semuanya berfungsi dalam menjayakan tauhid dalam hidupnya masing-masing – mulai dari orang biasa sampai kepada petugas masyarakat dan penjaga keluarga juga ahli rohaniah yang tertinmggi sekali dalam umat.Dalam konteks masyarakat moden kitra boleh kiaskan mereka yang terlibat di dalamnya dengan tugas-tugas mereka masing-masing.

Kalau Tuhan bernama dengan nama as-Sattar – Yang menutup aib hambanya, kemudian di akhirat bila ia beruntung Ia ampunkan aib itu- maka hendaklah si mukmin itu menutup aib jirannya dan kenalannya supaya dengan itu aib dirinya tidak di”buka” oleh Tuhan di hadapan sekalian makhluk di Akhirat nanti. Allahumma salimna.

Kalau Tuhan bernama al-Mutakabbir – Yang membesarkan DiriNya, Yang Takburr, kerana Ia berhak dengan perbuatan demikian – maka hendaklah si mukmin berendah diri kepada Tuhannya dan kepada sekelian mukminin, tetapi bertakabur dengan Setan supaya dengan itu ia tidak membiarkan dirinya menjadi “khadam” kepada Setan, yang meruntuhkan kemuliaan dirinya, sampai dirinya akan menjadi “yang sehina-hinanya”.

Dengan ini si hamba mempunyai sifat kemuliaan diri atau harga diri yang sebaiknya sebagai khalifah Tuhan di bumi dan hambaNya.

Bila Tuhan bernama dengan Nama an-Nafi’ – Yang Memberi Menfaat kepada sekalian akhlukNya – maka si mukmin hendaklah membentuk peribadi sebagai orang yang mendatangkan kemanafaatan kepada orang lain, bukan sebaliknya. Ini jelas pula daripada hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Manusia yang sebaik-baiknya ialah orang yang paling mendatangkan faedah kepada manusia”.

Kalau Allah bernama dengan Nama al-Muhaimin – Yang Menjaga – maka para hamba hendaklah pada paras manusawinya menjadi penjaga sekalian yang mesti dijaga dirinya, keluarganya, bangsanya, umatnya, agamanya, demikian seterusnya dan janganlah ia menjadi perosak. Demikianlah apa yang disebut sebagai “bahagian hamba” – hazz al-‘abd – oleh pengarang “Tafsir al-Jamal” dalam hubungan dengan Nama-Nama Allah yang menjadi penentu dalam hidupnya dari segi metafisikanya, faham alamnya, aksiologi atau faham nilainya, epistemologi atau faham ilmunya.

Tauhid Dalam Amalan

Bila kita menjurus kepada amalan, maka tauhid menjadikan manusia itu menunaikan ibadatnya, seperti sembahyangnya – sebab itu pengabdian kemuncak, terlambang dengan hakikat ianya dikurniakan waktu mi’raj Rasul s.a.w. – puasanya, zakatnya, hajinya, nazarnya, kafarahnya, membaca Qur’an, wirid dan zikirnya, do’anya, bahkan, sebagaimana yang diajarkan oleh Imam al-Ghazali rd dalam “Ihya’”nya, “Hendaklah semua gerak-geri hidup kamu dan diam kamu menjadi ibadat atau penolong kepada ibadat kepada Tuhan,” sampaikan Imam utama ini rd menyatakan bahawa bermainpun biarlah berlaku dalam konteks pengabdian atau ibadat kepada Tuhan!

Tauhid pada amalan menyebabkan manusia berakhlak dengan akhlak yang mulia seperti bersifat benar, amanah, ikhlas, kasihan belas, bertimbang rasa, bersaudara, berkasih sayang dalam keluarga dan masyarakat, bermaaf-maafan bukan berdendam, pemurah bukan bakhil dalam kebajikan, bukan membazir, bukan melampau dalam berbelanja,berhemat dan cermat, bukan hanya waktu ekonomi gawat sahaja, menjaga perpaduan bukan mengusahakan perpecahan, apa lagi dalam umat menghadapi ancaman, berkerjasama dalam kebajikan, iaitu berkerjasama dalam keluarga, dalam masyarakat, bangsa dan umat, antara rakyat dengan rakyat, antara rakyat dengan pihak penganjur, berkerjasama antara ulama, cendekiawan, para pemimpin, hartawan dan orang awam. Bersifat gigih dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kebaikan dan jasa kepada manusia semuanya.

Tauhid menyebabkan berlaku perpaduan dalam keluarga dan timbulnya keluarga bahagia dan perkasa yang membantu dalam membina masyarakat yang beradab, berilmu, dan perkasa dengan amalan-amalan “budaya perkasa” atau “strong culture”. Ini boleh dikaitkan dengan kata-kata terkenal “Hidup bersendikan adat, adat bersendikan Syara’ dan Syara’ bersendikan Kitab” yang melambangkan kesepaduan hidup ketamadunan yang terbimbing oleh wahyu dan ajaran agama dengan dibantu oleh keupayaan dan akal manusiawi.

Tauhid dalam amalan ditimbulkan dalam hidup manusia dengan penuh ketaatan kepada Kehendak Tuhan yang terjelma dalam ketaatan kepada Hukum Syara’Nya dalam ibadatnya, hidup keluarganya, mu’amalahnya, hidup kenegaraannya, budayanya, ilmu pengetahuan dan sainsnya, teknologi dan penyelidikan serta maklumatnya. Ketaatan kepada Tuhan dalam semua perkara inilah merupakan manifestasi tauhid dalam tamadun manusia selain daripada tauhid yang nyata dalam hidup peribadi dan keluarga serta masyarakatnya. Adanya kederhakaan dalam masyarakat manusia – kerana dunia bukan akhirat- adalah kerana kelemahan-kelemahan manusiawi – “human failings” – bukan kerana agamaa bukan praktikal atau “above human”. Sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Qur’an dalam ayat yang bermaksud “Tuhan tidak membebankan diri manusia melainkan setakat apa yang termampu olehnya”, dan dalam konteks yang lain Allah berfirman, maksudnya “Allah tidak membebankan sesuatu diri manusia melainkan daripada apa yang dikurniakan kepadanya (daripada Ni’matNya)”.

Tauhid pada amalan membawa manusia membina hidup ketamadunan mengikut apa yang diajarkan oleh Tuhan dalam budaya ilmunya, siasahnya, ekonominya, hidup kemasyarakatannya, keseniannya dan budayanya, perang dan damainya. Penyelewengan-penyelewengan yang berlaku adalah kerana kelemahan-kelemahan manusiawi dari segi individu dan kelompoknya. Agama datang untuk menyembuhkan manusia dan tamadun daripada “kelemahan-kelemahan manusiawinya” bukannya untuk mengazabkan manusia atau menghalangnya bersuka-suka secara rasional dan menasabah serta sejahtera dalam dunia ini.

Sebab itu dalam sejarah dan realiti kehidupan mengikut kadar yang berbeza-beza tauhid dan prinsipnya terbayang dalam hidup mereka yang beriman dalam keyakinannya kepada tauhid, ibadatnya, hidup akhlaknya, keluarganya, mayarakatnya, dan umatnya. Terbayang hakikat ini dalam sistem ilmunya – hubungan harmonis antara ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu umumnya sebagaimana yang terbayang dalam huraian Ibn Khaldun rh dalam “al-Muqaddimahnya”, dalam persuratan Islam, seni benanya, perancangan bandarnya, serta keharmonian antara alam tabi’I dan alam binaan manusia (“human built environment”).

Al-Marhum Prof Ismail Raji al-Faruqi dalam buku terkenalnya “Tawhid: Its Implications For Thought and Life” berbicara dengan meluasnya aspek-aspek dan implikasi tauhid ini dengan menyebut tentang tauhid sebagai inti pengenalan agama, sebagai intisari Islam, sebagai prinsip sejarah, prinsip metafisika, prinsip etika, susunan sosial, prinsip ummah, prinsip keluarga, prinsip susunan siasah, prinsip susunan ekonomi, prinsip susunan hidup seluruh dunia, serta prinsip estetika.

Kesyirikan Yang Bercanggah Dengan Tauhid Pada Fahaman

Dilihat dari segi fahamannya, kesyirikan ialah menisbahkan kuasa atau Sifat-sifat Tuhan kepada makhluk-makhluk atau kuasa-kuasa selain daripada Allah Tuhan Yang Sebenarnya.

Kesyirikan bermakna menyembah yang selain daripada Allah atau kuasa-kuasa yang selain daripadanya; atau memuja yang lain selain daripadanya sebagaimana Ianya disembah dan dipuja, atau sebagaimana IaNya dimuliakan dan disanjungi. Ini disebutkan sebagai syirik yang besar dan nyata (syirik akbar atau syirik jaliy). Syirik ini kalau orang yang berkenaan tidak bertaubat daripadanya, ia akan menyebabkan azab yang berkekalan. Nau’udhu billahi min dhalik.

Syirik yang satu lagi ialah syirik kecil atau syirik yang tersembunyi (syirik asghar atau syirik khafy). Syirik kecil ialah syirik dalam erti misalnya melakukan kebaikan kerana lain daripada berniat mencari keredhaan Tuhan, seperti seseorang melakukan ibadat kerana hendak mencari pengaruh; atau memberi sedekah dengan niat supaya disanjung dan diterima sebagai peribadi yang mempunyai keutamaan; demikian seterusnya; itu syirik kecil atau syirik tersembunyi yang membatalkan pahala amalkan dan kebajikan; ianya bukan menyebabkan kekal dalam azab di Akhirat; bagaimanapun ia menyebabkan amalan menjadi sia-sia tanpa pahala, bahkan menyebabkan azab sesuai dengan keadaan berat atau ringannya kesalahan orang yang berkenaan.

Dalam hubungan dengan syirik yang sedemikian Allah menyoal dalam al-Qur’an:

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا ﴿٤٣﴾

Adakah kamu (Muhammad) melihat orang yang menjadikan keinginan nafsunya sendiri (“hawahu”) sebagai tuhan? Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? – Surah al-Furqan: Ayat 43.

Adapun amalan duniawi, seperti pertukangan atau sesuatu kemahiran yang dimiliki, bila seseorang itu melakukan usahanya dengan baik dan bahkan cemerlang supaya amalannya diberikan nilaian dan prestasi yang baik, dengan itu ianya menjadi popular, dengan itu ia mendapat rezeki yang halal, itu tidak termasuk ke dalam perkara keji yang disebut di atas. Bahkan orang yang berkenaan, kalau ia orang yang beriman, boleh memasang niat bahawa ia sedang melakukan kerja untuk menguatkan ekonomi umat, untuk memberi kekuatan kepadanya, sebagaimana yang dianjurkan oleh Ibn al-Hajj rh dalam kitabnya yang terkenal “al-Madkhal” itu. Bahkan ini boleh termasuk ke dalam maksud hadith nabi yang bererti:

Sesiapa yang menuntut dunia yang halal kerana hendak mengelak dirinya daripada meminta-minta dari orang lain, kerana memenuhkan keperluan keluarganya, dan kerana kasihan belas kepada jirannya (dan ia membantu mereka dengan hartanya itu), maka ia datang ke Ahirat pada Hari Kiamat dengan wajahnya gemilang seperti bulan pernama empat belas hari bulan.

Seorang ahli sains yang membuat penyelidikan membina senjata yang ampuh yang boleh mempertahankan bangsanya daripada diceroboh oleh pihak musuh, dengan itu ia menjaga agamanya dan bangsanya serta negaranya, atau ia boleh memberi kekuatan kepada saudaranya Muslimin dalam negeri lain supaya tidak dianiayai oleh pihak lain, maka itu adalah perbuatan yang paling bermakna dalam khidmat kepada umat. Boleh diingatkan pada zaman klasik bagaimana al-Baghdadi rh menyebut bahawa satu daripada golongan Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah yang berjasa kepada umat yang menentukan kedudukan umat ialah orang-orang yang menjaga sempadan negeri umat Islam supaya tidak diceroboh oleh musuh (“al-murabitun”). Maka maksudnya termasuklah golongan yang menjayakan fungsi demikian dengan mengadakan senjata yang berkesan untuk tujuan itu. Dengan itu maka terlaksanalah juga suruhan dalam ayat al-Qur’an seperti berikut;

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٦٠﴾

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).  – Surah al-Anfal: Ayat 60.

Berseesuaian dengan keadaan dan zaman berkenaan; kalau pada zaman kita ini ianya merujuk kepada kekuatan senjata yang sesuai dengannya.

Dan tidaklah boleh dikatakan syirik orang yang mempertahankan negara itu, kecualilah ia menganggap negera itu seperti Tuhan baginya! Dijauhkan Allah dari yang demikian itu!

Syirik Dalam Perbuatan

Ringkasnya syirik besar dan nyata dalam perbuatan merujuk kepada perbuatan memuja apa-apa selain dari Allah sebagaimana memuja Allah; termasuk ke dalamnya memuja makhluk-makhluk halus atau manusia melebihi batasan; adapun sifat kasihkan seseorang kerana ia melakukan kebaikan kepada orang ramai, itu adalah perkara yang baik yang termasuk ke dalam maksud hadith Nabi saw yang bererti: “Sesiapa yang tidak mengenang budi kepada manusia (yang melakukan kebaikan kepadanya), maka orang itu tidak sempurna dalam perbuatannya bersyukur kepada Allah”.

Termasuk amalan yang mesti dielakkan ialah sihir sebab ia memusnahkan keimanan manusia dan boleh memnbawa kepada kesyirikan. Dalam media amalan sihir dilaporkan membawa kepada pembunuhan selain daripada akibat-akibat lain yang membahayakan serta memusnahkan hubungan baik ahli masyarakat.

Syirik kecil dan tersembunyi ialah sifat ria, iaitu melakukan kebaikan dalam agama kerana mengharapkan perhatian dan sanjungan manusia; itu membatalkan amalan dan kebajikan seseorang; adapun perbuatan yang bersifat duniawi, seperti pertukangan dan kemahiran maka itu tidak mengapa, walaupun yang lebih baiknya ialah seseorang itu menjalankan profesinya dan kemahirannya dengan niat menguatkan umat dalam rangka menjalankan fardhu kifayahnya, seperti yang tersebut dalam kitab Imam al-Ghazali rd atau kitab Ibn al-Hajj rh.

Dalam ajaran Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah bertawassul adalah harus, samaada pada orang yang hidup atau orang yang sudah meninggal dunia. Tidak perlu dijadikan masalah bila ada setengah kalangan yang menganggap itu kesyirikan; sebab yang diminta ialah dari Allah; orang yang mulia itu disebut kedudukannya yang mulia di sisi Allah. Dengan itu maka permohonan itu cepat makbulnya.

Perbuatan melawat makam mereka yang utama dan menghadiahkan pahala amalan juga perbuatan yang mulia di sisi Ahlis-Sunnah, dan berdo’a di makam orang itu, dengan barakahnya, maka do’a itu boleh dikabulkan dengan segera. Itupun amalan yang bukan dilarang dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, walaupun ada pihak-pihak yang melarangnya seperti Muhammad bin ‘Abdul Wahhab dan Ibn Taimiyyah. Itu adalah pandangan mereka, yang berlawanan dengan pandangan jumhur. Allahumma sallimna wal-Muslimin. Mereka yang mahu menganggap pandangan mereka berdua itu lebih utama dari jumhur, itu adalah pilihan masing-masing. Hendaklah diamalkan adab dalam berbeza pendapat dalkam perkara-perkara seperti ini dan jangan dijadikan isu sampai sesuatu puak melemparkan tuduhan bid’ah dan sesat kepada pihak lain. Apa lagi kalau sampai timbul sikap menghalalkan darah dan berperang sama Islam, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Muhammad ibn ‘Abdul Wahhab yang berperang menjatuhkan Turki ‘Uthmaniah yang menyebabkan sampai sekarang umat tidak mempunyai khilafah seperti anak-anak tanpa bapa. Dan pihak musuh cenderung untuk membiarkan pemikiran seperti ini supaya Islam hancur dari dalam, asalkan pihak mereka pula tidak terjejas. Lain halnya kalau sesuatu perkara itu sudah diijma’kan salahnya, maka perlulah itu dinyatakan dengan terang.

Demikian pula tidak perlu dikatakan syirik kepada mereka yang mengadakan aturan-aturan duniawi dalam mana-mana bidang kegiatan seperti komunikasi, pengangkutan, pertanian, dan yang sepertinya yang berupa aturan-aturan profesi yang menjayakan bidang yang berkenaan sesuai dengan tabiat kemahiran demikian itu. Mereka yang mengadakan aturan-aturan itu demi untuk menjaga kejayaan bidang-bidang itu – asalkan ianya tidak berlawanan dengan kehendak agama yang mahu menjaga kemaslahatan nyawa, agama, maruah, harta, keturunan manusia, keamanan dan apa juga yang diperlukan – bukannya boleh ditafsirkan sebagai “merampas” Hakimiyyatu’Llah atau Kuasa membentuk Aturan yang ada pada Allah – oleh itu perbuatan mereka itu berupa kesyirikan. Kita perlu mengelak diri daripada kecenderungan Khawarij yang sedemikian itu yang telahpun mengakibatkan kegetiran dalam sejarah da’wah di setengah negara di Asia Barat. Perkara sedemikian tidak perlu kita mengulanginya di tempat lain.

Perkara yang seperti ini disentuh dengan baiknya oleh Hasan al-Hudaibi rh dalam bukunya yang terkenal itu iaitu “Du’atun la Qudah” (Pendakwah Bukan Penghukum).

Perbincangan tentang kesyirikan tidaklah perlu terlanjur sampai timbul dakwaan-dakwaan dan tuduhan-tuduhan, antaranya seperti:

  1. syirik kecil itu sebahagian yang tidak terpisah daripada syirik besar, yang membawa kepada menghalalkan darah orang yang terlibat di dalamnya;
  2. atau tuduhan bahawa kefahaman ulama Ahlis-Sunnah tentang tauhid umumnya salah;
  3. atau Abu Jahal lebih mengetahui tentang la ilaha illa’Llah daripada ulama Islam;
  4. atau tuduhan bahawa kesyirikan di muka bumi bermula dengan perbuatan ahli ilmu dan agama, kerana mereka cinta kepada para wali;
  5. atau tuduhan bahawa para kufar yang mengetahui tentang kekufuran mereka adalah lebih baik terbimbing daripada orang-orang yang beriman -inna’l-kuffara ‘lladhina ya’rifuna kufran ahda sabilan minal-mu’minin<
  6. atau tuduhan “Keadaan sedemikian merusutnya sehingga sampai, di kalangan kebanyakan manusia, menyembah orang-orang agama adalah amalan yang paling baik, disebutkan sebagai kewalian, manakala menyembah ulama fikah dikatakan sebagai ‘pengetahuan dan ilmu fikah’. Kemudian keadaan menjadi merusut lagi sampai orang-orang yang tidak auliya’ pun disembah selain dari Allah, dan pada darjah kedua pula, mereka yang jahil”
  7. Juga tuduhan yang menyatakan bahawa sya’ir Burdah oleh al-Busiri sebagai sesuatu yang berupa kesyirikan (kerana memuji nabi s.a.w. -p).
  8. atau tuduhan bahawa panggilan “qadil-qudah” – kadhi dari sekelian kadhi – sama dengan “Syahin-syah- raja sekelian raja” (yang membawa kepada menghukumkan orang yang berkenaan kafir)
  9. atau sampai membawa kepada fahaman bahawa Allah s.w.t. mempunyai Dua Tangan, tangan kanan memegang langit dan yang satu lagi memegang bumi.”

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya kita melihat bahawa tauhid yang berasaskan kenyataan:

“tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, dan Muhammad adalah Rasulullah” atau “aku menyaksikan bahawa tidak ada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, dan aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah”

itu membawa maksud dan keyakinan bahawa hakikat yang sebenar-benarnya hanya satu sahaja, iaitu Allah, dan Ia Tuhan Yang Maha Esa, yang kita sembah. Keredhaan Dia sahaja terakhirnya yang kita cari; KehendakNya sahaja yang kita ikut; hakikat ini mendatangkan kesan pada faham alam kita, faham ilmu, dan faham nilai. Ini yang menentukan konsep kita tentang kehidupan, budaya, tamadun, ilmu, dan nilai. Inilah yang menentukan ibadat, hidup rohani, akhlak, peraturan hidup, serta perjuangan dalam kehidupan individu, dan kolektif serta ketamadunan kita. Sepatutnya inilah hakikat dan prinsip yang memartabatkan dan memuliakan kita dari dunia sampai ke alam yang kekal abadi.

Inilah yang menyatupadukan serta menguatkan kita dalam percaturan hidup, bukan sebaliknya. Kesyirikan ialah mempelbagaikan Tuhan yang berupa dosa dan jenayah terbesar, diikuti oleh syirik kecil memuja nafsu dan keinginan sendiri yang membawa kepada penyelewengan hidup dengan pelbagai perkara negatif dalam hidup individu, kolektif serta budaya dan ketamadunan.

Pengembalian semula kepada kefahaman yang tepat dan meluas tentang tauhid serta penghayatannya yang menyeluruh dengan implikasi-implikasinya, dengan penolakan syirik dalam fahaman dan amalan sejauh-jauhnya, dalam rangka fahaman dan amalan hidup Sunni, inilah yang menjamin kejayaan dan kebahagiaan sesungguhnya; dan inilah yang menentukan nasib sebenarnya bagi diri dan umat kita.

Wallahu a’lam.

~dikemaskini dari laman web IslamGrid~

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 53 other followers

%d bloggers like this: