SAIDINA UMAR AL-KHATTAB RA


Saidina Umar al-Khattab (Arab,عمر بن الخطاب ) (c. 581 – November, 644), kadang-kadang dipanggil juga sebagai Umar al-Farooq ataupun Omar atau Umar ialah daripada Bani Adi iaitu salah satu golongan puak Bani Adi,Quraisy. Dia menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan merupakan salah satu khalifah di dalam Khulafa al-Rasyidin.

Saidina Umar dilahirkan di Makkah.Bapanya bernama Khattab bin Nufaul Bin Abdul Uzza. Beliau dikatakan terdiri daripada golongan kelas pertengahan. Beliau juga berilmu iaitu merupakan perkara yang amat jarang pada masa tersebut dan juga merupakan seorang pejuang dan wira yang gagah dan terkenal kerana kegagahannya.

SEBELUM MEMELUK ISLAM

Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu.

Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w, beliau bertembung dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam.

Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca al-Quran. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat al-Quran kepada adiknya. Beliau merasa terharu apabila mendengar ayat-ayat al-Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga.

Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir. Selepas pengislamannya, beliau melahirkan rasa kesalnya terhadap peristiwa penanaman anak perempuannya secara hidup-hidup dahulu. (perkara seperti ini ialah fenomena biasa di Tanah Arab sebelum kedatangan Islam).

KEISLAMAN SAIDINA UMAR

Beliau memeluk Islam pada tahun ke 6 kenabian ketika berumur 27 tahun. Tindakannnya ini mengemparkan masyarakat Quraisy dan memberi berita gembira kepada umat Islam bahawa Islam akan menjadi kuat.

Rasulullah SAW pernah berdoa;

Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b. Hisyam” Hadtih riwayat At-Thabarani

Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa:

Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab

Sebuah hadith dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata : “Apabila Umar memeluk Islam, Jibrilpun datang dan berkata : “Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar”

Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara perkara yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat bagaimana dia mendapat gelaran tersebut, Saidina Umar menjawab : “Pada suatu hari, Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam kebenaran ?”

 Jawab Rasulullah SAW : “Benar”

 Aku berkata lagi : “Kenapakah kita beribadah secara sembunyi ?”

 Kemudian kami masuk ke Masjidil Haram membuat dua syaf, satu saya dan satu lagi Saidina Hamzah (berjemaah). Maka semua orang KAFFIR Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan perasaan yang sangat marah yang tidak pernah mereka terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah SAW mengelarkan aku Al-Faruq !

 Dengan islamnya Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan  di BaitulLah   khususnya setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar.

Peristiwa  yang menarik perhatian kafir Quraisy Makkah ialah apabila Saidina Umar Al-Khattab mengambil langkah untuk berhijrah secara terang-terangan, berbeza dengan pendirian para sahabat yang lain yang terpaksa berhijrah secara rahsia.

SIFAT KEBERANIAN

Umar Al-Khattab terkenal sebagai seorang yang berani  semasa kafir dan   bertambah berani sesudah beriman. Pada detik-detik terakhir sebelum meninggalkan kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah, Saidina Ali r.a. yang menyaksikan peristiwa tersebut, meriwayatkan: Setelah saidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya, kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya, sebatang anak panah tergenggam ditangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaa’bah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Ka’abah menyaksikan kehadiran Umar.

Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Maqam Ibrahim dan mendirikan solat.

Selesai solat, Umar berdiri di sisi Maqam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kuffar Quraisy. kata Umar: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah.”

Kata Umar lagi: “Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita adu senjata di sebalik bukit ini.”

Cabaran Saidina Umar terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan kehadiran Umar dengan pedang terhunus itu, ternyata menimbulkan kesan gerun di dalam hati mereka. Pertama kali mereka mendengar cabaran yang begitu hebat dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani menyahut cabaran Umar berlawan senjata.

Dari sudut psikologi, cara Umar mencabar puak Quraisy dengan gaya seorang pahlawan yang bersedia untuk mati, menjadikan puak Quraisy lemah semangat. Mereka membisu tanpa reaksi, sekalipun Umar mengutuk mereka sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam keadaan puak Quraisy lemah semangat, Umar mengajaknya adu senjata.

Saidina Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar itu berkata: Sesudah itu Umar melangkahkan kaki meninggalkan kota Makkah dengan tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak Quraisy. Bagaimanapun peristiwa itu memberi seribu rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya meninggalkan kota Makkah tanpa teman. Mereka semua mengambil peluang untuk berhijrah ke Madinah bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa sebarang gangguan.

Berikutan dari peristiwa itu, maka kaum muslimin Makkah telah menyahut seruan hijrah. Sehingga tiada lagi para penyokong Nabi s.a.w. yang tinggal di Makkah, kecuali Nabi s.a.w., Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Saidina Ali bin Abi Talib, selain itu orang-orang yang sakit, mereka yang tidak kenderaan dan keupayaan berhijrah dan mereka yang dikenakan tahanan oleh pihak  Quraisy, akibat tindakan mereka menyahut seruan Islam.

KEADILAN UMAR TERHADAP RUMAH IBADAT AGAMA LAIN

Kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’, tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim.

“Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”.

Tetapi Umar menolak cadangan Patriach dan solat (di luar) di tangga yang berada di hadapan pintu gereja tersebut secara bersendirian. Selepas beliau menyelesaikan solat asar, beliau (masuk kembali lalu) berkata kepada Patriach al-Quds :

Sekiranya saya mengerjakan solat tadi di dalam gereja tuan, saya merasa pasti bahawa ummat islam pada zaman akan datang akan menyatakan bahawa Saidina Umar mengerjakan solat di dalam gereja ini, maka kita boleh menukarkan gereja ini kepada masjid untuk melaksanakan solat di dalamnya.

Kisah di atas menceritakan respon Saidinna Umar kepada cadangan Patriach supaya beliau solat di dalam gereja al-Qiamah. Respon Saidina Umar merupakan satu respon yang mengambil kira kepentingan golongan Nasrani dan Patriach sambil dalam masa yang sama melindungi Kanisah mereka.

Sehubungan dengan itu, sekiranya ummat Islam adalah peroboh kuil, gereja dan synagogue seperti yang didakwa oleh musuh-musuh Islam dan turut dipercayai oleh segolongan ummat Islam yang jahil, sudah pasti Saidina Umar akan bertindak sebaliknya. Maka amatlah malang sekiranya ummat Islam sendiri tidak memahami konsep keadilan yang dipertahankan oleh Islam sepertimana yang telah dizahirkan oleh Saidina Umar. Konsep keadilan ini meliputi berbagai perkara, termasuklah keadilan terhadap orang bukan Islam sendiri.

Khalifah-Khalifah Islam sebelum mengutus tentera Islam sentiasa berpesan supaya tidak dibunuh kanak-kanak, orang tua, orang yang berlindung ditempat-tempat peribadatan dan tidak diroboh rumah-rumah peribadatan mereka. Begitu juga, tidak dibunuh haiwan ternakan kecuali untuk dimakan dan tidak dimusnahkan tanam-tanaman dan menebang pokok-pokok tanpa alasan.

SIFAT-SIFAT PERIBADI

Seorang yang bersifat berani dan tidak gentar dalam menegakkan kebenaran agama Islam juga seorang yang tegas dan adil. Ditakuti oleh orang ramai kerana keberaniannya taat pada ajaran Allah SWT. Seorang yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan sedia untuk menerima pendapat orang lain. Seorang pemerintah yang bertanggungjawab, adil dan amanah. Pernah penyamar sebagai rakyat biasa walaupun ketika beliau memegnag jawatan khalifah untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya, malah beliau sendiri yang mengangkat gandum dan minyak untuk diberikan kepada salah seorang daripada golongan yang memerlukan.

a) Berfikiran terbuka

Menerima pendapat sahabatnya Abu Bakar As-Shiddiq mengenai pembebasan tawanan perang Badar, iaitu mereka dikehendaki membayar wang tebusan atau mengajar anak-anak penduduk Madinah hingga pandai dan orang tua dibebaskan tanpa syarat. Menerima pendapat seorang perempuan yang mencadangkan supaya setiap orang boleh meletakkan maskahwin mengikut kemahuan sendiri, asalkan tidak membebankan kaum lelaki. Beliau bersedia ditegur dan menerima pendapat orang lain walaupun daripada rakyat biasa.

b) Berani

Sebelum memeluk Islam, beliau sangat kuat dan berani menentang Rasulullah SAW sikap beliau sangat ditakuti oleh orang-orang yang memeluk agama Islam. Beliau tidak gentar mengisyitiharkan dirinya telah memeluk Islam secara terbuka di khalayak ramai. Setelah memeluk Islam, beliau berani menunaikan ibadat secara terang-terangan di hadapan orang ramai. Beliau memberi cadangan kepada Rasulullah SAW supaya ajaran Islam disebarkan secara terbuka kepada orang ramai. Beliau mencabar orang kafir Quraisy supaya menghalang Rasulullah SAW daripada berpindah ke Madinah. Oleh kerana ketegasan dan keberaniannya itulah, maka beliau diberi gelaran “al-Faruq”.

c) Adil

Seorang pemerintah yang adil dan bertanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran rakyatnya. Beliau banyak melakukan pembaharuan untuk kemajuan rakyatnya. Beliau sendiri keluar menyamar sebagai rakyat biasa untuk meninjau keadaan rakyatnya. Pada suatu malam, beliau terjumpa seorang kanak-kanak yang sedang menangis kelaparan. Beliau terus kembali mengambil gandum, memasakkan dan menyuapkan sendiri ke mulut kanak-kanak tersebut. Beliau juga pernah menjatuhkan hukuman ke atas anak pesuruhjaya Mesir, iaitu Umar al-Ash, yang telah memukul seorang Qibti yang kalah dalam perlumbaan kuda.

KEPIMPINAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB

1. Pembaharuan Dalam Bidang Pentadbiran

a) Membentuk Majlis Syura

Khalifah Umar telah membentuk satu Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan majlis Syura Am.

Anggota Majlis Syura Tertinggi ialah terdiri daripada Uthman b. Affan, Ali b. Abi Talib, Zaid b. Tsabit, Abdul Rahman b. Auf, Saad b. Abi Waqas dan Muaz b. Jabal. Semua pekara yang melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama dalam majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar.

Melalui amalan sistem syura, Khalifah Umar dapat mengetahui apa-apa permasalahan yang berlaku kepada dalam semua segi. Beliau juga membuka peluang dan kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua orang untuk mengemukakan fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan dan keadilan Islam, Sehingga beliau menggangap semua manusia yang tidak mahu memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah.

b) Membahagikan Wilayah-Wilayah Islam

Perkembangan Islam yang semakin luas dengan pembukaan negara-negara Islam yang baru telah memerlukan kepada pentadbir bagi menguruskan sesebuah negara. Dengan perluasan kuasa ini, Khalifah Umar telah membahagikan kerajaan Islam yang semakin luas kepada beberapa wilayah demi menjaga kelicinan pentadbiran Islam. Umar meletakkan beberapa orang pegawai untuk menjalankan pentadbiran. Mereka yang dilantik hendaklah datang ke Mekah pada tiap-tiap tahun selepas menunaikan haji untuk membuat laporan. Khalifah Umar dikatakan berkebolehan dalam memilih pegawai-pegawai yang cekap bagi melicinkan pentadbiran, sebagai contohnya Muawiyah b. Abu Sufian, Amru b. al-Ash, Mughirah b. Syu’bah dan Zaid b. Sumyah.

Sebelum seorang Gabenor itu dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta mereka bagi mengelakkan dari menerima rasuah. Inilah syarat yang dikenakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab bagi menjamin keadilan dan kesucian Islam.

c) Memperbaharui undang-undang pentadbiran tanah

Perluasan kuasa Islam menuntut kepada Khalifah Umar untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem tanah. Di Mesir, Syria, dan Iraq misalnya, segala tanah-tanah awam adalah menjadi milik kerajaan tempatan dan segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk membiayai kemudahan-kemudahan awam negara itu juga. Khalifah Umar menetapkan tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan dirampas tetapi ianya akan dikenakan cukai.

Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan mengambil tanah dari negara jajahan kecuali melalui pembelian. Ini berbeza dengan amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan.

2. Pembaharuan Dalam Bidang Ekonomi 

Banyak pembaharuan yang dilakukan oleh Umar bagi mengagihkan pendapatan kepada rakyat dan juga negara mengikut kehendak Islam. Kadar dan sistem cukai telah diubah. Cukai yang dikenakan mengikut jenis tanaman yang ditanam. Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan tidak adil akan dihapuskan. Beliau juga sering bertanyakan kepada golongan-golongan Dzimmi (orang bukan Islam) untuk mengetahui samada cukai yang dikenakan membebankan mereka. Inilah langkah yang dilakukan oleh Umar sebelum pekara ini diperbaharui. Kesemua ini menyebabkan pungutan cukai menjadi cekap dan perbendaharan negara bertambah.

Beliau juga turut memajukan sistem pertanian dengan membuka tanah-tanah baru dan juga mengadakan projek pengairan, yang mana ianya telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq bagi menambahkan lagi hasil pertanian.

3. Pembaharuan Dalam Bidang Sosial

a) Melakukan polisi baru untuk golongan Dzimmi

Khalifah Umar telah mengadakan cukai tanah dan juga jizyah kepada golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan kerana rendah kadarnya dan tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah Umar memanggil 10 orang Dzimmi dari Kufah dan 10 orang Dzimmi dari Basyrah supaya mereka bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak membebankan.

Taraf dan hak awam di berikan sama rata seperti apa yang dinikmati oleh orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih menentang Islam akan dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas, malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam.

b) Memperbaharui taraf kedudukan hamba

Golongan hamba pada masa itu telah diberikan hak kepentingan sosial dan taraf yang baik. Hamba tidak lagi dihina dan ditindas, mereka boleh hidup bebas seperti orang-orang biasa, kecualilah bagi orang-orang yang benar menentang Islam dalam peperangan. Umar menetapkan bahawa hamba perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dijual sewenang-wenangnya seperti hamba-hamba lain. Begitu juga dengan hamba yang berkeluarga tidak boleh dipisahkan dari keluarga mereka.

Taraf golongan hamba juga disamakan dengan tuannya dalam apa-apa hal tertentu, pegawai-pegawai yang tidak menghormati dan menjaga hal kebajikan hamba akan dikenakan tindakan oleh Khalifah Umar. Sebagai contoh, Umar pernah melucutkan jawatan seorang pegawainya yang tidak menziarahi pekerjanya yang sakit.

c) Mengalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran

Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu didalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan menghafal kandungan al-Quran.

4. Pembaharuan Dalam Bidang Ekonomi

a) Memajukan Sistem Pertanian

Khalifah Umar telah mewujudkan terusan bagi memajukan sistem pertanian yang mana terusan tersebut seperti Terusan Amirul Mukminin yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah sepanjang 69 batu dari bandar Fustat. Di Iraq pula beliau telah membina Empangan Abu Musa yang menyambungkan Sungai Dujlah (Tigres) dengan bandar Basrah.

Tanah juga telah dikajiselidik bagi menempatkan tanaman-tanaman yang bermutu. Rakyat juga digalakan untuk membuka tanah-tanah baru bagi memperbanyakkan hasil pertanian. Tanah yang tidak dikerjakan akan ditarik balik sekiranya tidak terdapat hasil pertanian di dalamnya. Begitu juga beliau juga telah mengadakan sistem cukai bagi menambahkan pendapatan negara.

KEWAFATAN SAIDINA UMAR

Saidina Umar wafat pada tahun 644 selepas dibunuh oleh seorang hamba Majusi menyembah api yang bernama Abu Lu’lu’ah atau Fairuz. Abu Lu’lu’ah menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah.

Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman Affan dilantik menjadi khalifah selepas kematiannya..

Allahu a’lam.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 54 other followers

%d bloggers like this: