BERSUCI (CARA BERSUCI ORANG LUKA DAN BERBALUT)


Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

1. Jika seseorang itu luka, bagaimana caranya untuk ia bersuci?

Orang yang sakit atau luka, jika ia dapat membasuh atau memandikan dengan air sebahagian anggotanya, maka bahagian itu wajib dibasuh dengan air ketika ia mengambil wudhuk atau mandi. Adapun kawasan yang tidak dapat dibasuh dengan air –kerana takut membawa kerosakan atau mudarat- hendaklah diganti dengan tayammum (yakni dengan menyapu debu ke muka dan tangan). Ini adalah pandangan Imam Ahmad dan Imam Syafi’ie.

Menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Malik; toharah adalah dengan salah satu sahaja iaitu dengan air (yakni wudhuk atau mandi) atau dengan tanah (yakni tayammum). Tidak wajib menggabungkan keduanya. Oleh demikian, menurut pandangan kedua ini; jika kebanyakan badan adalah elok dan dapat dibasuh dengan air, memadai dengan membasuh kawasan yang elok/sihat itu dan tidak perlu kepada tayammum. Dan kalau kebanyakan badan adalah sakit/luka, cukup dengan tayammum sahaja, tidak perlu lagi wudhuk atau mandi.

2. Orang yang mengalami luka pada badannya atau patah tulang anggotanya dan terpaksa dibalut, diplaster atau disimen di mana ia tidak dapat ditanggalkan (termasuk semasa ingin mengambil wudhuk), bagaimana caranya ia hendak mengambil wudhuk atau mandi?

Bagi kes tersebut, diberi kelonggaran untuk menyapu air di atas kain balutan atau plaster atau simen yang dipakainya. Orang yang menghadapi masalah sedemikian, ia hendaklah melakukan tindakan berikut semasa mengambil wudhuk;

Islam tidak membebankan umatnya untuk bersuci dalam keadaan dhorurat.

Pertama; Hendaklah ia membasuh dan meratakan air sebagaimana biasa ke kawasan-kawasan yang sihat (tidak sakit) dari anggota wudhuknya.

Kedua; Bagi kawasan yang berbalut pula, wajib ia menyapu air ke atasnya. Menurut Imam Abu Hanifah; memadai dengan menyapu sebahagian besar balutan. Namun jumhur ulamak (iaitu Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berkata; “Wajib disapu air meliputi seluruh balutan”.

Jika ia mandi wajib, hendaklah ia mandi sebagaimana biasa iaitu dengan meratakan air ke seluruh badannya yang sihat (yakni yang tidak berbalut). Adapun kawasan yang sakit (yakni yang berbalut) hendaklah disapukan air ke atas balutan secara menyeluruh atau sebahagian besar darinya mengikut pandangan ulamak tadi. Apabila ia sembuh nanti, tidak diwajibkan ia mengulangi semula mandi wajibnya. Ia hanya diwajibkan membasuh/memandikan anggota-anggota yang berbalut sahaja.

Adakah wajib disertai dengan tayammum?

Mengenai soalan ini, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut mazhab Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad; tidak wajib lagi bertayammum. Memadai membasuh kawasan yang sihat dan menyapu air di atas balutan bagi kawasan yang sakit. Tidak perlu bertayammum.

2. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; wajib disertai dengan tayammum. Berdasarkan mazhab Syafi’ie, orang yang memakai balutan ia hendaklah melakukan tiga perkara semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib;

  • Membasuh kawasan yang sihat (tidak sakit atau cedera)
  • Menyapu air ke atas balutan dengan meratakannya
  • Bertayammum; bagi mandi wajib, cukup dengan sekali tayammum sahaja sama ada sebelum mandi atau selepasnya.

Adapun bagi wudhuk, ada dua pandangan; (Pandangan pertama); wajib bertayammum mengikut bilangan anggota wudhuk yang berbalut untuk menjaga tertib yang disyaratkan dalam wudhuk. (Pandangan kedua); cukup sekali tayammum sahaja iaitu sebelum wudhuk atau selepasnya. Pandangan yang rajih dalam mazhab ialah yang pertama.

3. Mengikut mazhab Imam Ahmad; wajib tayammum hanya jika balutan melebihi kawasan yang perlu, yakni kawasan yang sakit atau cedera. Jika balutan hanya membalut kawasan sakit tanpa menyentuh kawasan yang sihat, tidak perlu bertayammum, cukup dengan menyapu air ke atas balutan sahaja.

Adakah wajib memakainya setelah bersuci?

Ada dua pandangan ulamak;

Pandangan pertama; wajib balutan atau palster atau simen itu dipakai setelah bersuci iaitu setelah mengambil wudhuk atau setelah mandi wajib. Jika tidak, maka solat yang ditunaikan sepanjang memakai balutan atau simen atau plaster itu wajib diulangi semula apabila sembuh nanti. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad.

Pandangan kedua; tidak wajib bersuci terlebih dahulu sebelum memakainya. Dalam pengertian yang lain; tidak disyaratkan pemakaian balutan atau simen atau plaster itu dibuat setelah mengambil wudhuk atau mandi wajib terlebih dahulu. Sekalipun seseorang memakai balutan atau simen dalam keadaan tidak berwudhuk, harus baginya menyapu atas balutan atau simen itu semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib dan tidak perlu ia mengulangi solatnya apabila sembuh. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Berapa lamakah tempoh diizinkan menyapu balutan?

Keizinan dari Syarak untuk menyapu balutan tidak ada tempoh masa tertentu. Ia bergantung kepada tempoh kesembuhan luka atau patah. Selagi luka atau patah belum sembuh dan balutan masih perlu dipakai, maka selagi itu keharusan menyapu di atas balutan berterusan. Apabila sakit telah sembuh dan balutan dapat dibuka, hilanglah keharusan tersebut dan wajib mengambil wudhuk atau mandi wajib sebagaimana asalnya.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 52 other followers

%d bloggers like this: