KOMUNIKASI IMAM SHAFIE DALAM PENYEBARAN ISLAM


KERTAS KAJIAN OLEH: MOHD YAHYA MOHAMED ARIFFIN

Muat turun Artikel: Komunikasi Imam Shafie Dalam Penyebaran Islam.pdf

ABSTRACT

Imam Shafie, the founder of Mazhab Shafie used various methods of communications in his attempt to spread Islam throughout the Arabs world and Asia, until it reach Malaysia. His noble personel nature has helped him to become a good communicator, and thus helped influencing people to embrace Islam. In spreading the teachings of Islam, Imam Shafie employed various communications skill such as verbal (vocal) and written (nonvocal) communications as well as excellent interpersonal methods, and these have impressive impact on the expression of Islam. As a good communicator, he also provided valuable information and guidance, and used his persuasion skills to attract people toward embracing and practicing Islam.

Keywords: Imam Shafie, Islam, communicator, vocal communications, nonvocal communications

PENGENALAN

Komunikasi melibatkan hubungan antara manusia dengan manusia telah lama wujud sejak zaman Nabi Adam AS. Penyebaran agama Islam melalui dakwah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dilakukan melalui komunikasi antara manusia dengan manusia. Menurut Ismail (1982), kepandaian berpidato (al‐khitabah) dan surat‐menyurat (al‐risalah) telah menjadi sumber komunikasi semenjak kedatangan Islam. Kedua‐dua kaedah tersebut merupakan bentuk komunikasi pemujukan yang digunakan oleh Rasulullah dan para cendekiawan Muslim lain selepas Baginda yang bertujuan untuk mengembangkan dan menyebarkan agama Islam yang disampaikan dalam berbagai‐bagai perhimpunan dan melalui surat yang ditulis kepada raja dan ketua Arab yang berlainan. Melalui kebijaksanaan berpidato, Nabi Muhammad SAW telah mengajarkan agama Islam kepada orang Arab. Pada zaman berikutnya, Imam Shafie iaitu pengasas kepada Mazhab Shafie juga dilihat menggunakan komunikasi lisan (vokal dan bukan vokal) dalam meneruskan perjuangan menyebarkan dan mengembangkan agama Islam di bumi Arab, sehingga pengaruhnya berkembang di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

SEJARAH IMAM SHAFIE

Nama asal Imam Shafie ialah Al‐Imam Abu Abdullah Muhammad bin Idris al‐Qurasyi al‐Hasyimi al‐Muttalibi bin al‐Abbas bin Othman bin Syafi’i. Beliau berbangsa Quraisy dan berketurunan Nabi Muhamad SAW. Mengikut pendapat sepakat ulama, Imam Shafie dilahirkan pada tahun 150 Hijrah. Tarikh kelahirannya bertepatan pada tahun kewafatan Imam Abu Hanifah (Pauzi 1989; Siradjuddin 1991). Peristiwa seperti ini memberi gambaran, bahawa kelebihan Allah SWT menjadikan keadaan demikian kepada makhluknya, iaitu dengan wafatnya seorang imam maka lahir pula imam lain yang mewarisinya (Mohd Saudi 1986). Terdapat tiga pendapat tentang tempat lahir Imam Shafie iaitu di Ghazzah Syam (Palestin), Asqalan (di pesisiran pantai Palestin) dan Yaman. Al‐Bayhaqi dalam menyelaraskan pendapat di atas mengatakan Imam Shafie di lahirkan di Ghazzah, kemudian dibawa ke Asqalan dan kemudian ke Mekah (Pauzi 1989). Menurut Mohd Saudi (1986), Imam Shafie ialah seorang lelaki yang bertubuh tinggi, sempurna sifat, baik budi pekerti dan sangat disukai ramai. Beliau sentiasa berpakaian bersih, fasih berkomunikasi, banyak membuat kebaikan dan menjaga tutur kata, berbudi pekerti serta bersopan santun.
Imam Shafie menurut Ibrahim (1996) ialah seorang tokoh ulama hadis dan ulama fikah. Tash Kubra Zadah dalam kitabnya Miftah al‐Sa’adah berkata: “Ulama daripada kalangan ahli fikah, usul, hadis, bahasa, tata bahasa dan lain‐lain telah sepakat tentang amanah, adil, zahid, warak, taqwa, pemurah, baik tingkah laku dan tinggi budi pekerti yang wujud dalam diri Imam Shafie” (Wahbah 1995). Gambaran keperibadian yang begitu hebat dan tinggi oleh para sarjana menunjukkan beliau memiliki ciri‐ciri seorang komunikator yang berwibawa untuk menyebarkan agama Islam. Menurut pendapat sesetengah pihak dalam ilmu firasat, ini adalah satu petanda bahawa Imam Shafie mampu menggantikan tokoh yang telah meninggal dunia dalam bidang ilmu yang sama (Siradjuddin 1991). Imam Shafie wafat di Mesir pada tahun 204 Hijrah (Mohammed Yusoff, Abdul Shukor, Idris dan Anisah 1993).

Antara keistimewaan Imam Shafie ialah menghafal Quran ketika berusia tujuh tahun daripada gurunya, Ismail bin Qastantin. Ketika berusia 13 tahun, Allah SWT mengurniakan suara merdu kepada Imam Shafie apabila membaca Quran sehingga ulama di Mekah menjadi khusyuk dan menangis semasa mendengar bacaannya kerana takut kepada Allah s.w.t. Imam Shafie seorang yang tidak jemu membaca Quran. Semasa dalam perjalanan beliau selalu membaca Quran. Sebagai contoh, semasa menuju ke Madinah dari Mekah selama lapan hari untuk berguru dengan Imam Malik, beliau khatam Quran sebanyak 16 kali (Mohd Saudi 1986). Bagi menambahkan ilmu, Imam Shafie juga mempelajari ilmu hadis dan menghafalnya. Pada satu peristiwa Imam Malik mengajar sebanyak 25 hadis.

Semasa Imam Malik membacakan hadis tersebut, Imam Shafie menulis di tapak tangannya menggunakan air liurnya. Imam Malik memanggil Imam Shafie dan menegurnya kerana pada anggapan gurunya beliau tidak bersopan semasa mempelajari ilmu hadis. Imam Shafie menjawab bahawa beliau tidak bermain‐main sebaliknya menulis apa‐apa yang dibacakan oleh gurunya kerana ketiadaan kertas. Imam Malik meminta Imam Shafie membaca ayat yang dipelajari. Beliau berjaya membaca semua hadis tersebut seperti yang telah diajar menyebabkan Imam Malik berasa kagum dengan kebolehan anak muridnya (Mohd Saudi 1986).

Menurut Siradjuddin (1991) pada usia 10 tahun, Imam Shafie sudah menghafal kitab al‐Muwatta, karangan Imam Malik. Beliau menamakan kitab tersebut dengan nama al‐Muwatta yang bermaksud disepakati kerana kitab tersebut telah dipersetujui oleh 70 orang ulama fikah di Madinah. Kitab tersebut mengandungi 5,000 buah hadis yang dipilih daripada 100,000 yang dikumpulkan oleh Imam Malik dalam satu kitab. Imam Shafie telah menghafaz kitab tersebut dalam tempoh sembilan malam.

Pada zamannya, Imam Shafie terkenal sebagai penyair. Syairnya sangat indah dan bermutu tinggi, bukan sahaja dari segi tema dan mesejnya, tetapi dari segi bentuk dan gubahan yang terkawal dan seimbang. Menurut Mohd Saudi (1986) Imam Shafie telah menghafal sebanyak 10,000 rangkap daripada syair Huzail. Perkara ini diakui Imam Shafie dalam kitabnya, Az‐Zuhdi.

PERSPEKTIF ISLAM DALAM KOMUNIKASI

Satu aspek perspektif Islam dalam komunikasi ialah penekanannya ke atas nilai—sosial, agama dan kebudayaan—dan terhadap penyelidikan secara penglibatan. Hasil daripada konsep pendekatan penyelidikan secara penglibatan ini ialah aspek komunikasi interpersonal yang mungkin merupakan suatu aspek teori komunikasi yang paling mengarah kepada sosio‐agama‐budaya. Komunikasi interpersonal yang merangkumi bidang perhubungan dengan ucapan, gaya percakapan, perlakuan sosial serta sains tentang idea pengucapan dan sains tentang gaya yang merupakan sebahagian daripada bidang retorik, adalah perlu untuk mengekalkan satu order sosial yang adil—satu asas penyusunan cara hidup Islam (Imtiaz 1993) – (Imtiaz 1993)

Quran dan hadis menyatakan di beberapa tempat tentang prinsip dan kaedah komunikasi. Antara prinsip dan kaedah itu ialah seperti yang dimaksudkan oleh ayat‐ayat Quran berikut;

“… dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan‐perkataan yang baik …” (surah Al‐Baqarah:83).

“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang‐orang berlaku zalim di antara mereka…” (Surah Al‐Ankabut:46).

Imtiaz (1993) seterusnya berpendapat daripada tiga unsur penting yang digambarkan oleh Aristotle dalam Rhetorics yang dihubungkan dengan perlakuan komunikasi iaitu komunikator, mesej dan penerima. Daripada perspektif Islam komunikator memegang kedudukan paling penting dalam komunikasi. Islam menekankan beberapa ciri komunikator yang berkualiti seperti kebenaran, kerendahan hati, kebaikan, keadilan, kejujuran, keikhlasan, niat, kebenaran mesej yang disampaikan, pengesahan sumber mesej, dan penyiasatan untuk mengesahkan kejujuran dan ketepatan komunikator (dlm. Wimal Dissanayake 1993). Saodah, Narimah dan Mohd Yusof (2005) menambah Islam menetapkan beberapa prinsip komunikasi yang harus diikuti oleh pendakwah atau pemimpin iaitu, bercakap dengan lemah lembut, menggunakan perkataan yang baik‐baik, menggunakan hikmah dan nasihat yang baik, bercakap benar, berdialog dengan cara yang baik, mengotakan apa‐apa yang dikata serta mengambil kira pandangan dan fikiran orang lain. Prinsip‐prinsip komunikasi di atas digunakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat‐sahabat dalam menyampaikan risalah Islam dengan berkesan. Ramai orang di dalam dan di luar Semenanjung Tanah Arab menerima Islam sebagai agama mereka hasil daripada usaha dakwah berdasarkan prinsip‐prinsip ini. Imam Shafie mempunyai ciri‐ciri peribadi yang tersebut di atas. Mesej ajaran Islam yang disampaikan adalah bersumberkan Quran dan hadis, di samping ijmak (pakatan ulama) dan qiyas (perbandingan) yang berlandaskan kepada Quran dan hadis. Kekuatan yang dimiliki mungkin telah membantu Imam Shafie menjadi seorang komunikator yang hebat pada zamannya. Kekuatan dan kehebatannya membolehkan pengaruh Imam Shafie melalui mazhabnya telah menjadi ikutan ramai umat Islam hingga kini termasuk di Malaysia.

KAEDAH KAJIAN

Kajian ini bertujuan meneroka komunikasi lisan yang digunakan oleh Imam Shafie semasa menyebarkan agama Islam sehingga terbentuk mazhab yang diasaskannya, iaitu Mazhab Shafie. Dalam ilmu komunikasi moden, komunikasi lisan telah diketengahkan dan dibincangkan secara saintifik sejak abad ke‐20 oleh sarjana‐sarjana Barat. Kajian ini memberi fokus kepada penggunaan komunikasi lisan (vokal dan bukan vokal) oleh Imam Shafie semasa menyebarkan agama Islam berdasarkan data sekunder yang dikumpul. Menurut Syed Arabi (1993), data sekunder ialah data yang diambil daripada punca lain untuk membuat tafsiran yang berlainan. Analisis sekunder digunakan untuk menyelidik dokumen berupa buku‐buku berbahasa Melayu karangan beberapa sarjana Nusantara yang menyentuh komunikasi lisan Imam Shafie. Menurut Bailey (1992) analisis sekunder ialah analisis dokumen atau data yang dikumpulkan atau ditulis berdasarkan gambaran oleh orang yang tidak melihat
peristiwa‐peristiwa itu tetapi telah menerima maklumat penting untuk menyusun dokumen dengan membaca dokumen‐dokumen utama.

PERBINCANGAN

Sarjana Barat telah banyak memperkatakan komunikasi lisan, tulisan, interpersonal, dan komunikasi massa. Pada zaman Imam Shafie, beliau telah menggunakan dua kaedah komunikasi yang popular ketika itu ialah pertuturan dan tulisan semasa menyebarkan ajaran Islam. Ini menunjukkan bahawa apa‐apa yang diperkenalkan oleh sarjana Barat sebenarnya telah dipraktikkan oleh Imam Shafie pada zamannya. Menurut Stewart dan D’Angelo (1993), komunikasi lisan terbahagi kepada dua, iaitu vokal dan bukan vokal (nonvocal). Komunikasi vokal melibatkan perkataan yang diucap, sementara komunikasi bukan vokal melibatkan perkataan yang ditulis. Komunikasi lisan merupakan pengucapan dalam bentuk pertuturan dan penulisan yang disampaikan kepada individu lain bertujuan untuk berkongsi makna. Menurut Mohd Baharuddin dan Mohd Kharie (2006) komunikasi lisan boleh mengukuhkan sesuatu maklumat yang disampaikan apabila seseorang itu ingin menegaskan sesuatu perkara. Melalui komunikasi lisan, maklumat dapat disalurkan secara terus atau spontan kepada khalayak.

Komunikasi interpersonal merupakan salah satu jenis komunikasi lisan (vokal) yang melibatkan sekurang‐kurangnya dua orang selain komunikasi intrapersonal, kumpulan kecil, awam dan massa (Adler dan Rodman 2003). Wood (2002) pula berpendapat perkara utama yang terdapat dalam komunikasi interpersonal adalah memilih, sistematik, unik, proses yang berterusan, interaksi individu, pengetahuan peribadi dan makna. Oleh sebab pada zamannya tiada kemudahan media massa, maka Imam Shafie berkomunikasi secara lisan (vokal) sebagai kaedah terbaik menyampaikan ilmu Islam kepada khalayaknya. Fungsi komunikator seperti yang digariskan oleh Schramm dan Robert (1971), iaitu memberi penerangan, mendidik dan mempengaruhi dengan cara membujuk telah dipraktikkan oleh Imam Shafie semasa menyebarkan mazhabnya. Perbincangan akan memfokus kepada kajian dan pendapat para sarjana berkaitan komunikasi lisan, iaitu vokal dan bukan vokal Imam Shafie.

Komunikasi Lisan (Vokal)

Imam Shafie terkenal sebagai penyair. Menurut Pauzi (1989) karya syair Imam Shafie dianggap oleh para pengkritik dan penilai sastera sebagai hasil yang indah dan bermutu tinggi, bukan sahaja dari segi tema dan mesejnya, tetapi juga dari segi bentuk dan gubahannya yang terkawal dan seimbang. Mesej‐mesej yang dibawanya mengandungi nilai akhlak, ajaran dan nasihat yang berupa kias, malah kebanyakan syairnya menjadi hujah dalam pelbagai masalah dan keadaan. Syairnya dipetik di sana‐sini dalam kitab‐kitab Turath Islami dan telah dikumpulkan dalam antologi dikenali dengan Dewan al‐Shafie.

Sebagai Imam Mujtahid yang menguasai pelbagai bidang ilmu, beliau dengan penuh dedikasi menyebarkan ilmunya kepada masyarakat di mana‐mana sahaja beliau berada. Contohnya, ketika di Mesir, beliau mengadakan majlis ilmunya di Masjid Jamek ‘Amr bin al‐As selepas sembahyang Subuh sehinggalah tengah hari. Beliau memulakan kuliahnya dalam bidang Ulum al‐Quran. Apabila naik matahari dan pelajar‐pelajarnya bersurai beliau meneruskan pula kuliahnya dalam bidang Ulum al‐Hadis kepada pelajar‐pelajar yang mengambil jurusan tersebut. Apabila matahari meningkat tinggi, beliau mengadakan pula majlis diskusi dan debat ilmiah dengan alim ulama yang datang untuk bertukar‐tukar fikiran dan berhujah. Kemudian, ahli‐ahli bahasa memperdalamkan bidang ‘Arud, syair dan nahu sehingga tengah hari. Selepas itu, baru beliau meninggalkan masjid bersama para sahabat (Pauzi 1989).

Imam Shafie juga mahir membaca Quran sehingga berjaya menarik minat orang untuk mendengarnya. Malah mereka yang mendengar turut menangis kerana sayu dan pilu kerana kelazatan irama lagu bacaannya. Beliau sangat bijaksana menyesuaikan suaranya yang merdu tentang ayat‐ayat rahmat dan ayat‐ayat azab. Kaedah komunikasi tersebut berjaya menarik lebih ramai umat Islam ketika itu untuk mendekatkan diri dengan agama Allah dan pada masa yang sama menambahkan pengikutnya (Pauzi 1989). Menurut Mohammed Yusoff et al. (1993) pengetahuan Imam Shafie di dalam bahasa dan puisi banyak memberi pertolongan kepadanya di dalam usaha beliau untuk memahami Quran dan hadis. Sementara Pauzi (1989) menjelaskan Imam Shafie telah membaca dan mendramakan syair dan al‐Quran yang menyentuh emosi sehingga mereka yang mendengarnya menangis. Imam Shafie telah menggunakan aspek emotif dalam menyampaikan mesej tentang Islam. Beliau berjaya menggunakan komunikasi berkesan melalui penyampaian syair, syarahan dan bacaan Quran. Penguasaan komunikasi lisan (vokal) Imam Shafie mungkin menyebabkan mereka yang mendengar mendekatkan diri dengan agama Islam.

Kelebihan komunikasi lisan (vokal) Imam Shafie dilihat berupaya meyakinkan Imam Malik sehingga berjaya berguru dengannya. Imam Shafie sangat berhasrat untuk bertemu dan berguru dengan Imam Malik di Madinah. Imam Shafie berjumpa dengan pemerintah Madinah untuk menyampaikan dua pucuk surat kepada Imam Malik. Setelah membaca surat itu, pemerintah Madinah itu menolak untuk membawa surat Imam Shafie kerana takutkan Imam Malik. Walau bagaimanapun, Imam Shafie terus mendesak pemerintah Madinah itu, dan akhirnya bersetuju untuk membawa Imam Shafie serta surat tersebut bertemu Imam Malik (Mohd Saudi 1986).

Mereka berdua bertemu dengan Imam Malik lalu diserahkan surat itu. Imam Malik membaca surat itu, apabila sampai kepada tulisan yang berbunyi, “…bahawa sesungguhnya Muhammad bin Idris adalah seorang bangsawan baik peribadinya mahupun kelakuannya dan keadaan demikian …” Imam Malik meletakkan surat itu dan berkata, “Maha suci Allah untuk mencari ilmu Rasullullah SAW dengan perantaraan surat dan wasiat.” Setelah mendengar perkataan Imam Malik yang keras itu, Imam Shafie berkata, “Semoga Allah merahmatkan tindakan engkau, sesungguhnya saya ini adalah seorang dari Bani Mutalib dan keadaan saya begini…dan riwayat hidup saya demikian …” (Mohd Saudi 1986).

Setelah Imam Malik mendengar perkataan Imam Shafie, beliau merenung wajah Imam Shafie secara pandangan firasat. Beliau mendapati ada sesuatu pada Imam Shafie dan bertanya, “siapa kamu?” Imam Shafie menjawab, “Muhammad.” Imam Malik berkata, “Ya, Muhammad, takutlah kamu kepada Allah, jauhilah berbuatan maksiat, saya memandang bahawa di dalam hati mu ada nur gilang‐gemilang, janganlah kamu memadamkan cahayanya itu dengan perbuatan derhaka, kemudian hari kamu akan mempengaruhi manusia” (Mohd Saudi 1986).

Imam Malik berkata, “Esok kamu datang lagi akan kubacakan kitab al‐Muwatha untukmu.” Imam Shafie berkata, “sesungguhnya saya telah membaca kitab al‐Muwatha serta hafaz semuanya wahai tuanku.” Imam Malik berkata, “Kalau begitu cuba kamu baca.” Imam Malik mengambil al‐Muwatha lalu membaca secara hafalan. Imam Malik meneliti setiap bacaan Imam Shafie jika berlaku kesilapan. Imam Shafie berjaya meyakinkan Imam Malik sehingga diterima sebagai anak murid. Kemampuannya Imam Shafie menghafal kitab al‐Muwatta, karangan Imam Malik menguatkan lagi keyakinan gurunya itu untuk menerima Imam Shafie (Mohd Saudi 1986). Keberanian dan keyakinan Imam Shafie ketika berhujah mungkin telah menarik minat Imam Malik untuk mengetahui latar belakang Imam Shafie. Di samping itu, kebolehan membaca secara menghafal kitab al‐Muwatha dengan betul dilihat sebagai faktor yang membantu komunikasi lisan (vokal) Imam Shafie ketika berhadapan dengan Imam Malik. Kebolehannya itu mungkin telah mendorong Imam Malik menerima Imam Shafie sebagai anak muridnya.

Imam Shafie bijak menggunakan komunikasi lisan (vokal) dalam mengatasi masalah dan dugaan yang dihadapi akibat fitnah yang dilemparkan terhadapnya. Tanpa kebijaksanaan menggunakan komunikasi lisan (vokal) beliau mungkin menghadapi masalah besar termasuk dihukum bunuh oleh Khalifah Harun al‐Rashid (Mohd Saudi 1986). Semasa pemerintahan Khalifah Harun al‐Rashid, Imam Shafie telah pergi ke Najran, Yaman dan bertugas sebagai wali dan mahaguru kepada raja Yaman. Beliau amat dihormati oleh raja dan penduduk Yaman kerana beliau mempunyai keistimewaan dari segi kepandaian, kepintaran, kecekapan dan kecerdasannya dalam ilmu pengetahuan. Maka, timbullah perasaan dengki dalam kalangan yang membencinya. Pada masa yang sama, fahaman Syiah sedang berkembang dan mengancam kerajaan Khalifah Harun. Golongan yang membenci Imam Shafie telah memfitnahnya dengan menuduh Imam Shafie terbabit dengan gerakan Syiah itu. Tuduhan itu telah disampaikan kepada Khalifah Harun lalu Imam Shafie ditangkap bersama dengan pemimpin Syiah lain dan dibawa ke Baghdad (Mohd Saudi 1986).

Apabila Imam Shafie dipanggil, maka beliau masuk mengadap Khalifah Harun dengan keadaan merangkak kerana kedua kakinya diikat dengan rantai sambil diperhatikan oleh pembesar negara yang hadir. Beliau masuk mengadap Khalifah Harun dan mengucapkan salam kepada baginda, dan dijawab oleh Khalifah Harun (Mohd Saudi 1986). Umum mengetahui ucapan salam merupakan permulaan komunikasi dalam Islam apabila seseorang Islam bertemu dengan orang Islam lain dalam sebarang keadaan, tempat dan masa yang sesuai.

Sifat dan peribadi yang tenang Imam Shafie itu menimbulkan kehairanan kepada Khalifah Harun, lalu baginda berkata, “Engkau memulakan ucapan itu dengan sunat yang tidak diperintahkan untuk ditunaikan dan kami membalas ucapan engkau itu dengan fardu yang kami tunaikan dengan saksama.” Imam Shafie berkata, “Bahawa Allah itu apabila berjanji tentu ditepati janjinya dan kini ia telah menetapkan Tuanku menjadi khalifah di bumi, dan Tuanku telah mendatangkan keamanan kepada patik sesudah patik di dalam ketakutan, sehingga Tuanku menjawab ucapan salam patik dengan ucapan Tuanku. Dan, demikian Tuanku telah memberikan rahmatullah dengan kemurahan Tuanku kepada patik, wahai amirulmukminin” (Mohd Saudi 1986).

Khalifah Harun berkata, “sekarang apakah alasan untuk menolak tuduhan yang dikenakan kepadamu? Bukankah engkau orang yang bersalah? Dan mengetuai pemberontakan kepada kami di atas nama sahabatmu Abdullah bin Hasan?” Imam Shafie menjawab, “Tuanku telah menerangkan atau melahirkan apa‐apa yang terlintas di hati Tuanku, dan sekarang patik akan menyatakan apa yang sebenarnya untuk mencari keadilan dan keinsafan, tetapi perasaan patik ini tidak mungkin patik nyatakan dengan saksama selagi patik terikat dengan rantai ini. Oleh itu, patik berharap Tuanku melepaskan rantai yang ada di kedua‐dua belah kaki patik supaya dapat patik duduk dengan tenang dan baik serta boleh berbicara dengan lancar tanpa gangguan” (Mohd Saudi 1986).
Mendengar kata Imam Shafie itu, Khalifah Harun memerintahkan supaya membuka rantai besi yang mengikat kaki Imam Shafie. Kemudian, Imam Shafie membaca surah al‐Hujurat, ayat 8 yang bermaksud: “Hai orang‐orang yang beriman, apabila datang kepada kamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah terlebih dahulu dan kamu menelitinya, agar kamu tidak ditimpa musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya sehingga kamu akan menyesal di atas perbuatanmu.” Khalifah Harun kelihatan gembira setelah mendengar hujah Imam Shafie itu. Kekuatan hujah Imam Shafie mungkin telah membuka hati khalifah Harun untuk membebaskannya, malah memberi penghormatan kepada Imam Shafie untuk duduk di samping baginda. Khalifah Harun turut meminta Imam Shafie memberi pendapat dan nasihat berkaitan beberapa masalah yang terkandung di dalam Quran (Mohd Saudi 1986).

Setelah selesai peristiwa itu, maka Imam Shafie dibebaskan daripada segala tuduhan. Khalifah Harun cuba memberi hadiah kepada Imam Shafie sebanyak dua dinar tetapi ditolak dengan baik oleh Imam Shafie. Langkah itu menguatkan lagi kebenaran Imam Shafie bahawa segala tuduhan yang dilemparkan ke atasnya adalah palsu. Di sini dapat diukur dengan tepat tentang Imam Shafie berdasarkan sebuah hadis bermaksud, “Sesungguhnya ada seorang di kalangan bangsa Quraisy yang alim lagi bijaksana, tersebarlah segala ilmu pengetahuannya di seluruh rantau dan pelusuk bumi” (Mohd Saudi 1986).
Kemampuan Imam Shafie menggunakan kemahiran komunikasi lisan (vokal) yang baik yang disokong dengan hujah, keberanian, kerendahan hati serta kebaikan yang dimilikinya membolehkan mesej yang disampaikan itu melahirkan kepercayaan dan keyakinan Khalifah Harun bahawa beliau berada di pihak yang benar dan segala tuduhan terhadapnya adalah palsu.

Komunikasi Lisan (Bukan Vokal)

Ilmu mengenai ketuhanan, falsafah, undang‐undang atau lainnya, tidak mungkin tersebar luas dan mempunyai impak kepada seluruh masyarakat melainkan wujud secara tulisan. Tulisan atau komunikasi lisan (bukan vokal) pula akan bertambah keberkesanannya apabila disebarkan oleh pendukung sama ada terdiri daripada penuntut atau sahabat yang mempunyai aliran fahaman yang sama dan berjuang untuk menegakkan fahaman yang dipegang. Tulisan akan menjadi warisan sejarah peninggalan ummah, jika bernilai tinggi. Untuk mendapatkan penghargaan dari sudut nilai, ilmu terkandung di dalam tulisan itu hendaklah mempunyai sesuatu yang luar biasa, sesuatu yang membawa mesej pembaharuan dan perangkai kemelut pemikiran sezamannya. Ilmu dalam tulisan sedemikian lahir daripada seorang manusia yang luar biasa kealiman dan kebijaksanaannya. Ilmu sedemikian walaupun sedikit ditulis, tetapi tetap berkekalan dan sentiasa dipetik hasilnya oleh setiap generasi sepanjang zaman (Abdullah 1989).

Imam Shafie adalah antara manusia yang melahirkan keilmuan dan kebijaksanaan secara luar biasa. Sebagai seorang tokoh keilmuan agung dunia, beliau telah melahirkan hasil karya agung yang telah merubah persekitaran keilmuan sezaman dan selepasnya. Sarjana‐sarjana Barat juga menyanjung dan mengkaji hasil karya Imam Shafie. Antara mereka ialah Ignaz Goldzihar, Duncan MacDonald, Nicolas Aghnides dan H.J. Coulson. Coulson menganggap Imam Shafie sebagai ketua arkitek kepada teori perundangan dan kedudukannya dalam sains perundangan Islam adalah setaraf dengan Aristotle dalam bidang falsafah (Abdullah 1989).

Menurut Abdullah (1989) jika Imam Malik terkenal dengan al‐Muwatta, dan Imam Ghazali dengan Ihya’ Ulumuddin, dan Ibnu Khaldun dengan Muqaddimah, maka Imam Shafie menghasilkan kitab untuk menjadi panduan kepada umat Islam pada dan selepas zamannya. Menurut murid Imam Shafie, Qadhi Imam Abu Muhammad bin Husein bin Muhammad al Marudzi, gurunya telah mengarang 113 kitab dalam ilmu usul, tafsir, fikah, adab dan lain‐lain. Walau bagaimanapun, terdapat dua kitab karangan Imam Shafie yang terkenal hingga sekarang, iaitu kitab al‐Umm dan al‐Risalah.

Iman Shafie banyak menghasilkan kitab agama khususnya di bidang ilmu fikah. Melalui penulisan dan penghasilan kitab‐kitab seumpama itu, membolehkan proses komunikasi, iaitu penyebaran agama Islam kepada manusia berjalan dengan baik. Penulisan kitab juga dapat memperlihatkan kehebatan pemikiran Imam Shafie dalam ilmu Islam terutama ilmu fikah dan hadis. Dalam kitab al‐Umm, Imam Shafie cuba memperlihatkan perkembangan pengolahan teori pemikiran perundangan Islam dalam kalangan mazhab fikah yang wujud pada zamannya. Beliau telah menulis beberapa kitab khusus membincangkan perbezaan pendapat dalam kalangan pengasas mazhab dan aliran pemikiran mereka, sama ada yang hidup sezaman atau sebelumnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah hukum. Bagi menjelaskan pendapat setiap individu itu, Imam Shafie mengemukakan dalam bentuk dialog, di samping mengeluarkan pendapatnya sebagai penyelesaian (Abdullah 1989).

Menurut Saudi (1986) al‐Umm merupakan kitab fikah yang besar dan tidak ada tolok bandingnya hingga kini. Kandungannya menunjukkan kealiman dan kepandaian serta kemahiran Imam Shafie tentang ilmu fikah kerana susunan kalimahnya yang tinggi dan indah serta mengandungi ibarat yang halus, bermutu tinggi dan tahan untuk diperdebatkan. Kitab ini digunakan untuk perbincangan ahli fikah kerana al‐Umm ibarat ibu bagi seluruh ilmu pengetahuan fikah. Kitab ini mengandungi masalah fikah yang lengkap dan dibincangkan serta dibahas dengan dalilnya yang baik daripada Quran, sunah, ijmak dan qiyas. Kitab yang diriwayatkan oleh Imam ar‐Rabi’ bin Sulaiman al‐Muradi ini masih digunakan hingga sekarang sebagai rujukan bagi para ulama. Kehebatan karya Imam Shafie ini telah membolehkannya tersebar luas ke seluruh negara Islam.

Satu lagi usaha beliau melalui komunikasi tulisan ialah menghasilkan kitab al‐Risalah, sebuah kitab tentang perundangan Islam. Kitab ini telah tersebar luas di seluruh dunia Islam dan menjadi sumber rujukan dan kajian para ulama fikah. Abdullah (1989) berpendapat kitab tersebut adalah sebuah karya Imam Shafie yang unik dan ulung dalam keseluruhan penulisan undang‐undang Islam. Kemuncak perkembangan fikah Imam Shafie ialah penyusunan kitab al‐Risalah yang ditulis atas permintaan seorang alim Baghdad, iaitu Imam Abdul Rahman Mahdi semasa berada di Mekah. Kitab tersebut khusus mengandungi ilmu usul fikah yang dikarang ketika usia muda. Imam Abdul Rahman, seorang ahli hadis yang terkemuka pada masa itu meminta Imam Shafie mengarang sebuah kitab yang membicarakan tentang usul fikah. Setelah dikaji, Imam Abdul Rahman sangat kagum terhadap kandungan kitab al‐Risalah (Sidi Ahmad 1989). Kitab itu telah meletakkan Imam Shafie sebagai pengasas Prinsip Undang‐undang Islam. Daripada disiplin ilmu yang telah dikemukakan di dalam karya Imam Shafie, membuktikan bahawa beliau bukan sahaja sebagai seorang tokoh ilmuan yang ulung, yang tidak ada tandingan sebelum dan sesudah, malahan sebagai salah seorang mujadid Islam yang menyinarkan cahaya pembaharuan agama Islam sepanjang zaman (Abdullah 1989).

Menurut Sidi Ahmad (1989), Imam Shafie menyusun kitab al‐Risalah yang dengan jelas menerangkan cara‐cara orang beristimbat mengambil hukum dari Quran dan hadis. Begitu juga cara mengambil dalil dari ijmak dan qiyas. Hingga ke hari ini kitab tersebut menjadi sumber kajian para ulama usul fikah di seluruh dunia Islam. Melalui kitab yang dihasilkannya, pemikiran Imam Shafie berkembang bukan sahaja di Mekah, Madinah, Iraq, Yaman dan Mesir, malah di luar Semenanjung Tanah Arab yang dibawa oleh ulama‐ulama Mazhab Shafie ke Kepulauan Melayu termasuk Malaysia. Menurut Siradjuddin (1991) Mazhab Shafie yang bermula di Iraq dan Mesir, kemudian tersebar luas di Iraq, Mesir, Khurasan, Afghanistan, India, Indonesia, Thailand, Hijaz, Hadhramaut, Yaman, Oman, Sudah, Somalia, Syria, Palestin, Filipina dan lain‐lain.

Kitab al‐Umm dan al‐Risalah Imam Shafie ini sebagai sumber perundangan yang penting di dalam ilmu fikah dan usul fikah Islam (Mohd Saudi 1986). Ini menunjukkan pengaruh dan pemikiran Imam Shafie terus disebarkan dan menjadi sumber rujukan penting kepada masyarakat Islam sehingga kini. Komunikasi lisan (bukan vokal), iaitu kitab beliau menjadi jambatan perhubungan antara beliau dan pengikut pada zamannya dan sesudah itu. Komunikasi Imam Shafie begitu berkesan sehingga kitabnya tersebar luas di seluruh dunia Islam dan menjadi rujukan para ulama yang hendak mengetahui ilmu usul fikah Imam Shafie seterusnya, menyampaikan kepada umat Islam selepas zaman beliau.

Imam Shafie dilihat berjaya menggunakan kemahiran komunikasi lisan (bukan vokal) dalam menyelesaikan percanggahan pendapat di antara Aliran Madinah dan Aliran Pendapat. Kesan daripada percanggahan pendapat tersebut telah memberi kesan kepada perundangan dan fikah Islam. Aliran Madinah berpusat di Hijaz diketuai oleh Said al‐Musayyab, manakala Aliran Pendapat yang didukung oleh Imam Abu Hanifah berpusat di Kufah dan Iraq. Menurut

Mohd Saudi (1986) percanggahan pendapat tersebut menjejaskan agama Islam terutamanya tentang hukum fikah. Orang yang membentuk dua aliran yang ternyata berbeza pendapat antara kedua‐duanya ialah ahli fikah. Aliran Madinah sentiasa berpegang kepada nas. Semua masalah diselesaikan berdasarkan hadis marfuq, muttasil, mursal, sahih dan hasan. Sementara Aliran Pendapat pula pada mulanya dikatakan berpegang kepada hadis. Tetapi, disebabkan kurangnya hadis di Iraq, maka mereka terpaksa menggunakan fikiran tetapi mereka tidak pula meninggalkan langsung fatwa sahabat.

Dalam mengatasi masalah perbezaan ini, Imam Shafie telah mengkaji kedua‐dua aliran. Setelah Imam Shafie mahir dalam kedua aliran itu, beliau berusaha pula untuk memajukan suatu ilmu yang dikenali nama Ilmu Usulul Fiqh, iaitu sumber perundangan ilmu fikah Islam. Ilmu itu dibukukan dengan menggunakan kaedah yang padat lagi kemas serta lengkap dengan hujah dan keterangannya. Menurut Imam Shafie, perselisihan faham yang timbul itu bukanlah disebabkan oleh seseorang itu mengikut satu mazhab yang tertentu, tetapi kerana perselisihan faham di kalangan ulama di satu negeri sahaja. Khilaf yang wujud di kalangan ulama adalah masalah cabang. Dalam usul tidak ada khilaf sebaliknya adalah satu. Khilaf lahir kerana terdapat kekurangan dan kelebihan pada seseorang ulama baik di Madinah atau di Kufah (Iraq) (Mohd Saudi 1986).

Dalam hal berkaitan, Imam Shafie mengecam sikap Imam Malik kerana menurutnya Imam Malik lebih mengutamakan pendapat seseorang sahabat (tabi’in) atau pendapatnya sendiri daripada hadis. Demikianlah juga beliau mengecam orang Iraq kerana mengikutnya orang Iraq telah mensyaratkan bahawa sesuatu hadis yang hendak dijadikan pegangan hendaklah daripada hadis yang masyhur. Beliau juga mengecam orang Iraq kerana mereka mengutamakan dasar qiyas daripada hadis “ahad” walaupun sanadnya sah. Jadi tidak hairanlah sekiranya kebanyakan pengikutnya daripada ahli hadis. Aliran yang dibawa oleh Imam Shafie juga disetujui oleh pengikut Abu Hanifah kerana Imam Shafie tidak menolak sama sekali penggunaan dasar qiyas. Mungkin sikap inilah yang memperdekat aliran Hijaz dan aliran Iraq yang merupakan satu keistimewaan yang terdapat pada Mazhab Shafie (Mohd Yusoff et al. 1993).

RUMUSAN

Keagungan Imam Shafie memang tidak dapat dinafikan oleh umat Islam. Sejak kecil beliau telah menunjukkan keupayaan dan kemampuan yang luar biasa daripada pencarian ilmu dan menyebarkannya sehinggalah menjadi ulama besar dan pengasas kepada Mazhab Shafie yang menjadi ikutan sebahagian besar umat Islam sehingga kini termasuk di Malaysia. Ciri‐ciri peribadi yang terdapat pada diri Imam Shafie banyak membantu beliau menjadi seorang komunikator yang baik dalam perkembangan agama Islam. Beliau telah mengembangkan agama Islam menggunakan komunikasi lisan (vokal dan bukan vokal) yang dilihat begitu berkesan. Maka tidak hairanlah beliau dianggap oleh ramai ulama Islam sebagai Imam yang agung, malah sarjana‐sarjana Barat juga menyanjungnya sebagai ketua arkitek kepada teori perundangan Islam serta setaraf dengan Aristotle.

RUJUKAN

  • Abdullah @ Alwi Hassan. 1989. Hasil karya dan karangan al‐Imam Al‐Shafie. Kertas kerja Seminar Pemikiran Islam. Kuala Lumpur.
  • Abdul Rashid Hj. Abdul Latif. 1986. Wasiat dalam Islam. Bangi: Penerbit UKM.
  • Alder, R.B. & G. Rodman. 2003. Understanding Human Communication Edisi Ke‐8. New York: Oxford Univesity Press.
  • Astrid S. Susanto. 1987. Komunikasi: Teori dan Praktis 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
    Bailey, K.D. 1992. Kaedah Penyelidikan Sosial (Terj. Hashim Awang). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Ibrahim Abu Bakar. 1996. Kontroversi sekitar kelegitimasian ilmu kalam. Dalam Zakaria Stapa & Mohd Asin Dolah (Peny). Islam Akidah dan Kerohanian. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Imtiaz Husnain. 1993. Komunikasi: Suatu pendekatan Islam dalam Wimal Dissanayake. Teori Komunikasi: Perspektif Asia (Terj. Rahmah Hashim). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Ismail Ibrahim. 1989. Al‐Imam Al‐Shafie sebagai ahli bahasa dan penyair. Kertas kerja Seminar Pemikiran Islam. Kuala Lumpur.
  • Ismail Hamid. 1982. Arabic and Islamic Literary Tradition. Kuala Lumpur: Urban Publications and Distributors Sdn. Bhd.
  • K.H. Siradjuddin Abbas. 1991. Sejarah dan Keagungan Madzhab Syafi’i. Jakarta: Pustaka Tarbiyah.
  • Mohd Baharudin Othman & Mohd Khairie Ahmad. 2006. Pengantar Komunikasi. Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia.
  • Mohammed Yusoff Hussain, Abdul Shukor Hj. Husin, Idris Zakaria & Anisah Hj. Zainal Abidin (Peny). 1993. Isu‐isu dalam Usuluddin & Falsafah. Bangi: Penerbit UKM.
  • Mohd Saudi Haji Junid. 1986. Mazhab Shafi’i: Sejarah & Keagungannya. Bangi: Penerbit UKM.
  • Pauzi Awang. 1989. Riwayat hidup al‐Imam Shafie: Satu catatan ringkas. Kertas kerja Seminar Pemikiran Islam. Kuala Lumpur.
  • Samsuddin A. Rahim. 1993. Komunikasi Asas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Saodah Wok, Narimah Ismail & Mohd Yusof Hussain. 2005. Teori‐teori Komunikasi. Bentong: PTS Publications & Distrobutors Sdn. Bhd.
  • Schramm, W. & D.F. Roberts 1971. The Process and Effects of Mass Communication. Chicago: University of Illinois.
  • Sidi Ahmad Abdullah. 1989. Al‐Imam Shafie: Qaul qadim dan qaul jadid. Kertas Kerja Seminar Pemikiran Islam. Kuala Lumpur.
  • Sidi Gazalba & Zainal Ismail (Peny). 1993. Dakwah Islamiah Malaysia Masa Kini. Bangi: Penerbit UKM.
  • Stewart, J & G. D’Angelo. 1980. Together: Communication Interpersonally. Edisi Ke‐2. Reading: Addison‐Wesley.
  • Sulaiman Nordin. 1993. Sains, Falsafah & Islam. Bangi: Pusat Pengajian Umum UKM.
    Syed Arabi Idid. 1993. Kaedah Penyelidikan Komunikasi dan Sains Sosial. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusataka.
  • Tubbs, S. L & Moss, S. 2003. Human Communication: Principles and Contexts. Edisi ke‐9. Boston: McGraw Hill.
  • Wahbah al‐Zuhaili. 1995. Fiqh dan Perundangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Wimal Dissanayake. 1993. Teori Komunikasi: Perspektif Asia. (Terj. Rahmah Hashim). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Wood, J.T. 2002. Interpersonal Communication: Everyday Encounters. Belmont: Wadsworth.
  • Zakaria Stapa & Mohamad Asin Dollah (Peny). 1996. Islam Akidah & Kerohanian. Bangi: Penerbit UKM.
About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 52 other followers

%d bloggers like this: