SUMBANGAN ISLAM KEPADA TAMADUN DUNIA


SEBELUM tiba zaman Renaissance, Eropah dilanda zaman gelap (dark age). Maksud dark age ini ialah zaman masyarakat Eropah menghadapi kemunduran intelek dan kelembapan ilmu pengetahuan. Sementera masanya pula menurut Encyclopedia Americana ialah tempoh 1000 tahun, yang bermula antara zaman kejatuhan Kerajaan Roman dan berakhir dengan kebangkitan intelektual pada kurun ke-15 Masihi.

“Gelap” juga bermaksud tiada prospek yang jelas bagi masyarakat Eropah. Situasi ini wujud kerana tindakan dan cengkaman kuat pihak berkuasa agama; Gereja Kristian yang sangat berpengaruh. Gereja serta para paderi mengongkong pemikiran masyarakat dan juga politik.

St. Thomas Aquinas - diantara paderi katholik yang cuba mengongkong pemikiran dan politik masyarakat.

Mereka berpendapat hanya gereja sahaja yang berkelayakan untuk menentukan kehidupan, pemikiran, politik dan ilmu pengetahuan. Akibatnya kaum cendekiawan yang terdiri daripada ahli-ahli sains berasa mereka ditekan dan dikontrol. Pemikiran mereka ditolak. Sesiapa yang mengeluarkan teori yang bertentangan dengan pandangan gereja akan ditangkap dan didera malah ada yang dibunuh.

Dalam politik, gereja sering bersaing dengan kuasa-kuasa kerajaan. Biasanya apa yang berlaku di Eropah pada abad pertengahan itu ialah kuasa gereja lebih kuat dan adakalanya terjadi semacam kerjasama, Thomas Aquinas (m 1274) seorang ahli fikir zaman ini mengeluarkan teori “negara wajib tunduk kepada kehendak gereja”. St Augustine (m 430) sebelumnya juga berpendirian demikian. Manakala Dante (1265-1321) berpendapat kedua-dua kuasa itu hendaklah masing-masing berdiri sendiri, dan mestilah bekerjasama untuk mewujudkan kebajikan bagi manusia (Joseph H Lynch, 1992, 172-174).

Diringkaskan cerita sejarah, golongan cendekiawan sentiasa memberontak terhadap dan kongkongan gereja tersebut. Pada kurun kedua belas, gerakan intelek telah mula berjalan. Cerdik pandai Eropah mula bersikap lebih berminat untuk tahu dan lebih ghairah terhadap kebudayaan bangsa Timur yang telah lama maju. Dan Timur yang dimaksudkan itu ialah Timur Tengah.

Beberapa kota besar di Timur Tengah telah menjadi kata ilmu pengetahuan seperti Iskandariah, Harran, Antiok dan Baghdad. Diskusi akademik yang melibatkan tajuk besar seperti metafizik, perubatan, astronomi, etik, politik, fizik dan seumpamanya dibahas secara terbuka dan ilmiah. Ini bermakna sewaktu dunia Islam sudah menikmati kemajuan dan tamadun yang tinggi, Eropah masih diselimuti kegelapan dan kemunduran! Dunia telah diperlihatkan tentang betapa hebatnya perkembangan intelektual dan ilmu pengetahuan di dunia Islam antara kurun ke-9 hingga ke-12.

Al-Farabi adalah diantara tokoh ilmuan islam yang muncul di zaman kegemilangan pemerintahan khalifah Islam di Baghdad.

Sewaktu pemerintahan khalifah-khalifah Abbasiyah yang mashyur; al-Mansur (754-75), Harun al-Rashid (786-809) dan al-Makmun (813-833) wilayah-wilayah Islam khasnya di Baghdad telah disuburkan dengan kemunculan ahli-ahli fikir besar seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina, al-Biruni, Ibnu Miskawayh al-Razi, al-Khawarizmi, Ibnu Haitham, Ibnu Rusyd Ibnu Bajja, Ibnu Masarrah, Ibnu Tufail, dan Ibnu Khaldun. Mereka menjadi pemikir-pemikir dalam bidang-bidang falsafah, metafizik, fizik, matematik, etik, politik, psikologi, perubatan, geografi, astronomi, kimia, optik, dan muzik. Sebuah institusi bernama Baitul-Hikmat telah secara langsung membantu operasi ilmiah ini dengan jayanya.

Kawasan Islam yang dekat dengan Eropah ialah Sepanyol. Di sini perkembangan intelek juga berlaku dengan pesat. Philip K Hitti dalam bukunya The Arabs: A Short History menukilkan seperti berikut:

Moslem Spain wrote one of the brightest chapters in the intellectual history of medieval Europe. Between the middle of the eighth and the beginning of the thirteenth centuries, the Arabic-speaking peoples were the main bearers of the torch of culture and civilization throughout the world, the medium through which ancient science and philosophy were recovered, supplemented and transmitted to make possible the renaissance of Western Europe.” (h 174-175).

The Arabs: A Short History - karya Philip K Hitti

Bagi memenuhi kehendak baru masyarakat intelek Eropah ini, usaha terjemahan telah dibuat terhadap bahan-bahan ilmiah dari negara-negara Islam. Mereka tidak menterjemah bahan-bahan ilmiah itu daripada bahasa Yunani. Charles Singer dalam bukunya A Short History of Scientific Ideas to 1900 menyenaraikan tujuh alasan mengapa tindakan terjemahan lebih banyak buku berbahasa Arab. (h 175-176):

Charles Singer dalam bukunya A Short History of Scientific Ideas to 1900 menyenaraikan tujuh alasan mengapa tindakan terjemahan lebih banyak buku berbahasa Arab. (h 175-176)

  1. Sebelum lebih kurang tahun 1200, ilmu-ilmu Islam lebih teratur, lebih asli, lebih penting berbanding ilmu-ilmu Rom Timur.
  2. Bahasa Yunani Rom Timur jauh sekali daripada bahasa klasik. Bahasa yang digunakan oleh Aristotle sukar difahami oleh rahib-rahib yang menjaga manuskrip-manuskripnya. Tetapi bahasa Arab klasik pula mudah difahami oleh setiap orang berpendidikan tinggi yang bertutur dan menulis bahasa Arab.
  3. Keseluruhan kecenderungan ilmu Rom Timur mengarah kepada teologi falsafah dan ilmu sains.
  4. Saluran-saluran perniagaan dengan Barat sama ada secara langsung dengan Islam ataupun melalui wilayah-wilayah asing terkepung di dalam Empayar Rom Timur.
  5. Dalam zaman pertengahan bahasa dipelajari secara bertutur dan bukunya daripada tatabahasa Yunani.
  6. Kuasa Kristian Latin tidak mencapai kemajuan di dalam menduduki Wilayah Rom Timur. Di pihak lain pula Islam sedang berundur di Barat.
  7. Bantuan daripada orang Yahudi diperolehi untuk bahasa Arab, tetapi jarang sekali untuk bahasa Yunani.

Antara penterjemah Barat perintis daripada bahasa Arab ke bahasa Latin ialah Adelard of Bath (c 1090 – c 1150) yang telah pergi ke Sepanyol dan kepulauan Sicily. Khidmat beliau yang terkemuka ialah bidang matematik. Beliau menterjemah karya al-Khawarizmi – Arithmetic- dan diperkenalkan kepada Barat. Beliau juga menterjemah karya Euclid daripada bahasa Arab. Seterusnya beliau menulis suatu dialog terkenal Natural Questions yang merupakan sejenis ikhtisar permulaan tentang ilmu sains Arab.

Satu bidang sains di Sepanyol yang lebih progresif ialah astronomi. Sebuah kutub khanah dan akademi telah ditubuhkan di Cordova dalam tahun 970 M dan badan-badan yang serupa muncul di Toledo dan beberapa tempat lain. Ketua ahli-ahli astronomi Sepanyol dikenali oleh orang Latin sebagai Arzachel. Di Toledo beliau telah menyusun apa yang disebut “jadual Toledo” yang telah mencapai suatu tahap kejituan yang tinggi.

Alpetragus adalah seorang daripada ahli astronomi yang terakhir. Beliau menulis buku teks astronomi untuk mengganti teori-teori Ptolemy dengan suatu sistem planet yang benar-benar sepusat dan berjaya menyediakan cadangan-cadangan kepada Copernicus (1993, 168-69).

Penterjemah terkemuka menurut Charles Singer ialah Gerard of Cremona (1114-87). Beliau menghabiskan banyak masa di Toledo dan menimba ilmu-ilmu Arab dari guru-guru Kristian tempatan. Beliau telah berjaya menterjemah buku berbahasa Arab ke Latin tidak kurang daripada 92 buah karya Arab yang lengkap. Banyak daripadanya amat panjang, misalnya Almagest karya Ptolemy dan Canon karya Ibnu Sina. Canon ini ialah Canon fi al-Tibb, iaitu kitab perubatan (1993, 178).

Mereka juga menterjemah buku-buku falsafah. Di antara penterjemah-penterjemah cemerlang Eropah waktu itu ialah Gundissalines (1130-1150).

Beliau telah menterjemah beberapa bab dari kitab al-Syifa’ oleh Ibnu Sina, buku Ihsa al-ulum oleh al-Farabi, Risalat al-aqli Wa al-Ma’qul oleh al-Kindi, Maqasid al-Falsafah oleh al-Ghazali, juga beberapa buah buku tentang Astronomi. Herman dari German, seorang uskup bekerja menterjemah buku di Toledo. Pada tahun 1240, beliau telah menterjemah ulasan Ibnu Rusyd terhadap buku Ethica Nicomachaea karangan Aristotle. Pada tahun 1250, beliau menyalin dari bahasa Arab buku Rheforica oleh Aristotle dengan memakai alasan-alasan al-Farabi, Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd.

Pada tahun 1256, beliau menyalin buku ulasan dari Ibnu Rusyd terhadap buku Phoetics karangan Aristotle.  Buku al-Syifa’ oleh Ibnu Sina yang telah juga diterjemah ke bahasa Latin telah diterbitkan di bawah tajuk Sufficientia Physicorum di mana ahli fikir Barat Roger Bacon sering membuat rujukan. Mengenai Rusyd pula, Michael Scot telah membuat terjemahan ke bahasa Latin, komentar-komentar beliau tentang buku falsafah Greek De Caelo et Mundo, De Enima, De Generatione et Conruptione, Physica, Metaphysica, Metarologica, Parva Maturalia dan De Substancia Orbis.

Robert dari Chester (1110-1160), pernah tinggal di Sepanyol, merupakan antara orang yang mula-mula menterjemah al-Quran. Sementara buku-buku saintifik pula, beliau menterjemah teks alkimia yang mula-mula sekali terbit dalam bahasa Latin. Penterjemahan beliau bagi karya al-Khawarizmi Algebra telah berjaya diperkenalkan kepada orang Latin. Sewaktu di England, beliau menghasilkan jadual-jadual astronomi bagi garis bujur London berdasarkan karya al-Battani dan garis lintang pula berdasarkan karya al-Khawarizmi.

Raymond Lull (633-716/1236-1316) telah mempelajari bahasa Arab di Majorea dan falsafah Islam di Bugia di Tunisia. Beliau telah menterjemah Asma’al-Husna oleh Muhyi al-Din ibn Arabi. la juga ada membuat saduran dan penyesuaian beberapa passage dari Futuhat al-Makkiyah hingga ia sendiri boleh menulis hal-hal berkenaan dengan sufis, akidah dan falsafah. Tetapi ia juga yang memberi inisiatif kepada pihak Kristian supaya melancar serangan moral menentang Islam.

Buku-buku hasil kajian Imam Al-Ghazali banyak diterjemahkan untuk rujukan ilmuan-ilmuan barat

Pengaruh al-Ghazali juga didapati sangat kuat. Dalam konteks ini, al-Ghazali dianggap ahli teologi dan falsafah. Miguel Asin Palacios telah mempelajari bukan sahaja buku Tahafut al-Falasifah oleh al-Ghazali malah lain-lain buku beliau seperti Maqasid. Buku Maqasid telah diterjemah ke Latin diberi tajuk Logika et philosophia Algazelis Arabic oleh Gundisalvas dan diterbitkan di Venice pada 912/1506. Buku lain seperti al-Nafs al-Insani juga diterjemahkan dan diberi judul De Anima Humana (M M Sharif, A History of Muslim Philosophy, 1966, h 1360).

Proses penterjemahan pelbagai ilmu dari Timur khasnya Sepanyol ini dibantu juga oleh pelajar Yahudi. Bahasa Arab adalah bahasa pertuturan waktu itu. Nama-nama Yahudi yang terkenal pada zaman tersebut ialah seperti Solomon ibn Gabirol (1021-58) dari Sarafossa, Moses ben Maimon (1135-1204) dari Cordova.

Terjemahan buku-buku Ibnu Rusyd yang mereka lakukan menjadi bahan-bahan akademik yang sangat berpengaruh. Terjemahan-terjemahan tersebut telah memberi makna besar terhadap tamadun Eropah seperti yang disebut oleh Philip KHitti di atas.

Bahan-bahan tersebut dipelajari oleh para sarjana dan pelajar-pelajar tempatan. Ketika Frederick II memerintah Itali, beliau telah mendirikan Universiti Neples dan di sini ilmu pengetahuan dari dunia Islam itu telah dipelajari. Universiti Paris dibina pada tahun 1236, kemudian Universiti Bologna dan Oxford di London. Universti-universiti ini menjadi pintu masuk ilmu-ilmu dari dunia Islam secara rasmi kepada masyarakat Eropah pada abad pertengahan.

Kemunculan Universiti Paris sebagai pusat pembelajaran adalah antara sebab penting ke arah perkembangan bidang falsafah dalam abad ketiga belas. Usaha-usaha mempelajari falsafah Aristotle serta sejarah besar ulasan-ulasan teks yang dibuat oleh orang-orang Islam dari Baghdad dan Sepanyol dalam bidang-bidang epistemologi, metafizik dan etika berasaskan pemikiran al-Farabi,Ibnu Gabirol, Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd telah berlaku.

Kerja-kerja terjemahan diperhebatkan. Cendekiawan Paris sibuk mempelajari buku-buku yang berjudul Deintellectu et intelligibili kerap merujuk kepada Ibnu Rusyd sekerap rujukannya terhadap Aristotle. St Thomas Aquinas merujuk kepada Ibnu Sina dalam karyanya guaestiones disputaEae de veritate (Permasalahan yang dipertikaikan mengenai kebenaran). Buku perubatan Ibnu Sina iaitu Qanun Fi al-Tib dipelajari di Eropah hingga abad ke-17.

Pengaruh Ibnu Rusyd di Eropah menurut Bertrand Russell sangatlah kuat, bukan sahaja di kalangan golongan skolastik, tetapi juga di kalangan satu kumpulan besar pemikir bebas bukan profesional (a large body of improfessional free-thinkers) yang menafikan keabadian (immotality).

Mereka digelar pengikut Ibnu Rusyd.Sementara di kalangan ahli falsafah profesional, peminatnya yang utama ialah ahli-ahli Mazhab Franciscan dan mereka yang berada di Universiti Paris. (Russell, 413-421).

Orang-orang penting di abad pertengahan seperti Sigervan Brabant dan Boethius adalah antara pengikut-pengikut Ibnu Rusyd hingga mereka mendapat kemurkaan pihak gereja. Christopter Colombus sendiri mendapat ilham daripada Ibnu Rusyd.Dalam usahanya untuk menyeberangi lautan Atlantik, beliau dihalang oleh pelbagai pihak terutamanya sekali gereja. Tetapi beliau bertekad mahu meneruskan juga ekspidisi berbahayanya. Apabila ditanya di manakah beliau mendapat ilmu dan keberanian untuk pelayaran itu, beliau menyebut “daripada buku-buku Ibnu  Rusyd!”.

Kaum wanita pula yang tertekan oleh pelbagai diskriminasi telah mendapat ilham dan semangat baru apabila membaca buku-buku Ibnu Rusyd mengenai wanita dan hak-hak mereka. Kesedaran ini telah menimbulkan gerakan feminisme dan ia dipelopori oleh Dubois di Perancis dan Ockham di England iaitu kira-kira dua abad selepas kematian Ibnu Rusyd. Menurut para pengkaji pengaruh Ibnu Rusyd setidak-tidaknya terus berpengaruh selama empat abad di Eropah.

Makna penting walaupun ringkas paparan di atas ialah bangsa Barat khasnya Eropah telah mengambil inisiatif besar menterjemah malah mempelajari pelbagai jenis ilmu dari dunia Islam Sepanyol dan lain-lain wilayah di Timur Tengah. Ilmu-ilmu yang diterjemah itu melewati ilmu-ilmu falsafah, perubatan, astronomi, matematik, logik, akhlak (Etika), kimia, dan algebra. Lahir Universiti-universiti Neples, Bologna, Paris, Oxford, dan Koln, akhirnya Eropah berjaya melepasi zaman gelap meluncur menuju zaman Renaissance. Ilmu-ilmu dari dunia Islam telah membawa kejayaan kepada bangsa Eropah.

Kenapakah suasana maju dan cemerlang itu tidak terjadi di alam Melayu walaupun Islam dan ilmu-ilmu dari dunia Islam Timur Tengah telah dipelajari sejak abad ke-13 lagi? Cuba kita bandingkan hakikat ilmu di Nusantara dan di Eropah itu bagi mengenal pasti apakah yang menyebabkan kita terbelakang atau mundur, walhal daerah Nusantara ini bukan seperti Antartika. Nusantara adalah daerah yang subur dan kaya dengan pelbagai hasil bumi dan pertanian.

Ilmu pengetahuan dari Timur Tengah yang dibawa ke alam Melayu bukanlah seperti yang terjadi di Eropah. Eropah menerima ilmu-ilmu dari dunia Islam sewaktu umat Islam berada dalam kekuatan dan kemajuan. Sebab itu ilmu-ilmu yang kita sifatkan sebagai “akademik” itu berkembang pesat di Eropah dan akhirnya mereka maju.

Nusantara mewarisi suasana yang lemah dan mundur justeru kerajaan-kerajaan Islam di Timur Tengah telah jatuh ke tangan bangsa Tartar. Pada tahun 1258 M atau pun abad ke-13, Kota Baghdad telah ditawan oleh bangsa ganas Tartar tersebut. Kumpulan-kumpulan Sufi kemudiannya mengambil peranan menjaga Islam.

A H Johns dalam eseinya muslim mystics and historical writing mengungkapkan apa yang telah disebutkan oleh Gibb tentang hal kejatuhan ini:

After the capture of the caliphate, the task of maintaining the unity of the Islamic Community passed to the sufis, a development rising from the close relationship between the sufi shaikh and his disciples, the sufi missionary spirit and the popular basic of the movement. The Sufi orders gradually became stable and disciplined foundations and some of them spread over wide areas.  (dipetik oleh A H Johns 1993, 39).

Maksudnya setelah berlaku serangan bangsa ganas itu, orang-orang Sufi telah muncul dan berfungsi menyelamatkan Islam. Dan mereka ini mengembangkan aktiviti mereka ke wilayah-wilayah yang lebih luas. Para sufi pengembara telah melakukan pengembaraan hingga ke Nusantara.

Mereka berjaya menyebarkan Islam kepada penduduk Nusantara dalam semua lapisan masyarakat. Berkat dan keistimewaan mereka telah menyebabkan berlaku perkahwinan dengan wanita tempatan, maka bertambah luaslah kegiatan pengislaman.

Mengikut Prof Naguib, tariqat Naqsyabandiah adalah antara yang terbesar. Selain daripada tariqat ini ada lapan lagi tariqat yang besar.

Tariqat-tariqat itu ialah Qadariyyah, Rifaiyyah, Syadiliyyah, Chistiyyah, Syatariyyah, Ahmadiyyah, Tijamiyyah dan Alawiyyah (Naguib, 1963, 32).

Daripada sembilan tariqat ini terdapat banyak lagi organisasi yang lain. la bermula dengan 14 jenis tariqat kemudian berpecah lagi kepada 163. Jadi kalau dicampur dengan yang asal, menjadikan 177 tariqat, tetapi yang masih kekal hingga ke hari ini berjumlah 76 jenis tariqat sahaja (Abu Hassan Sham, 1980, 75).

Sarjana Sastera Melayu Klasik dari Russia Vladimir I Braginsky dalam “pendahuluan” untuk bukunya Tasawuf dan Sastera Melayu mengungkapkan bahawa di Nusantara ini tasawuf telah diserap masuk ke dalam kehidupan umat Melayu: “Sejak akhir abad ke-14 terutama sekali abad ke-16-17 tasawuf selalu memainkan peranan yang sangat penting dalam sejarah, agama dan budaya di kawasan Melayu – Indonesia yang maha luas itu.

Vladimir Braginsky - Sarjana Sastera Melayu Klasik dari Russia

Cukup dikatakan bahawa bentuk Sufi ternyata bentuk yang paling sesuai dengan mentalitas rakyat-rakyat di dunia kepulauan itu, bagi tersebar luasnya Islam di kalangan mereka. Semangat toleransi yang menjadi kelaziman dalam tasawuf mazhab Ibn Arabi yang agung itu serta juga  kecekapan dan kefasihan mubaligh-mubaligh sufi yang tahu jalan-jalan menuju hati, baik para intelek dan aristokrat yang terpelajar mahupun rakyat jelata, sangat mempermudahkan bagi masuknya agama Islam ke dalam semua strata masyarakat. (1993, xi).

Amalan-amalan sufi ini adalah pada peringkat untuk menebal keyakinan dalam hati dan menjalinkan keakraban yang tinggi dalam konteks hubungan intim dengan Tuhan. Selain itu ilmu-ilmu asas Islam seperti Fekah, Tauhid, al-Quran dan al-Hadith serta lain-lain terus dipelajari.

Pelajar-pelajar Melayu-Indonesia yang mendapat didikan di Makkah dan Madinah pada musim haji atau selepas musim haji kembali ke Nusantara dan mengembangkan ilmu-ilmu itu kepada masyarakat setempat. (Azyumardi Azra, 1995, 17).

Samudra Pasai (1280-1400) adalah tempat penulisan kitab-kitab agama dan kesusasteraan Melayu. Melaka (1400-1511) juga menampilkan hal yang serupa, ditambah lagi dengan cerita-cerita Hikayat pahlawan-pahlawan agung seperti Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah yang dibaca untuk memulihkan semangat orang-orang Melayu untuk menentang Portugis pada 1511.

Acheh (1511-1650 M) memaparkan para sultan yang berminat kepada agama. Pusat pengajian agama didirikan. Sewaktu pemerintahan Sultan-sultan Iskandar Thani, Sultan Iskandar Muda dan Sultan Safiatuddin, ilmu pengetahuan khasnya agama dan tasawuf berkembang pesat.

Lahir di sini pujangga Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Singkel, Bukhari al-Jauhari dan lain-lain. Hamzah Fansuri terkenal dengan buku-buku tasawuf aliran Wujudiah.

Suasana yang serupa lahir di Johor-Riau (1650-1800). Raja-raja Riau juga berminat pada ilmu pengetahuan agama dan kesusasteraan. Bandar Penyegat menjadi pusat pengajian Islam dan banyak menerbitkan buku-buku bidang itu. Raja Ahmad, ayah Raja Ali adalah seorang yang sangat gemar pada ilmu agama. Raja Ali Haji adalah antara keluarga diraja yang menjadi alim dalam bahasa dan agama terutamanya usuluddin dan tasawuf.

Peminat-peminat persuratan klasik atau para pembaca yang berhasrat untuk mengetahui buku-buku dan corak ilmu dalam bidang-bidang sastera, fekah, usuluddin, tasawuf, kisah nabi-nabi dan sebagainya bolehlah membaca buku Tenku Iskandar Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad (1995). Buku ini sangat komprehensif tentang tajuk yang dibicarakan di atas.

Setelah mengesan sejarah dan perkembangan pemikiran umat Melayu di Nusantara ini, penulis berpendapat senario pemikiran, falsafah hidup dan budaya orang-orang Melayu dahulu berlegar-legar sekitar agama dan kesusasteraan. Alam Melayu didominasikan oleh faham ketuhanan, kemanusiaan dan kebudayaan. Bangsa Melayu dan lain-lain suku bangsa di kawasan ini telah menikmati kemajuan-kemajuan dalam bidang ini.

Namun seperti yang disebutkan di atas, ilmu-ilmu yang ada itu tidak luas dan tidak dapat menyelamatkan umat ini apabila diserang oleh contohnya bangsa-bangsa Barat.

Penentangan yang keras memang ada di lokasi-lokasi serangan yang terjadi, tetapi sejarah memaparkan umat ini kalah lalu tanah air yang subur ini dijajah. Sebab utama di sini ialah bangsa asing itu memiliki kecekapan yang lebih tinggi berbanding dengan kebolehan umat Melayu di daerah ini.

Inilah persoalan yang perlu diperhatikan, bahawa citra Islam yang tiba di kawasan kita pada abad ke-13 itu adalah citra Islam yang sudah lemah dan mundur. Tidak seperti yang terjadi di Eropah di abad pertengahan, seperti yang telah disentuh di atas. Ilmu-ilmu yang mengalir ke Eropah meliputi ilmu-ilmu yang mampu memajukan pemikiran dan pencetusan idea-idea saintifik seperti falsafah, matematik, fizik, perubatan, etik, psikologi, politik, astronomi, kimia, dan optik muzik.

Ilmu ini diambil dan dipelajari secara serius di Eropah iaitu di Pusat-pusat pengajian tinggi yang telah disebutkan di atas. Sebaliknya setelah umat Islam parah diserang dan ditawan oleh bangsa Tartar dan Baghdad jatuh ke tangan mereka pada tahun 1258 M, maka ilmu yang disebutkan itu tidak sampai ke sini. Ilmu yang tiba bukanlah dari Baghdad, Harran Iskandariyah, Antiokh iaitu kota-kata intelek dan saintifik sebaliknya dari Makkah dan Madinah. Dua kata ini adalah kota agama yang penting dalam Islam dan ilmunya juga adalah ilmu-ilmu agama dalam gugusan  usuluddin dan syariah serta kaya dengan amalan tasawuf. Jadi inilah ilmu-ilmu yang dipindahkan ke Nusantara.

Umat ini “maju” hanyalah dalam konteks yang terhad. Perkembangan rasionalisme dan saintifik yang disebutkan oleh Naguib juga adalah dirujuk dalam perkembangan-perkembangan ini dan dari sudut perubahan dari Hudisma-Buddisma kepada Islam bukan seperti yang berlaku di Eropah di abad pertengahan.

Ilmu-ilmu yang mampu menjana kemajuan dalam erti yang lebih luas tidak sampai ke daerah ini. Oleh itu kita terkebelakang hingga kini. Penjajahan yang berlaku hanyalah menambah parah pada situasi masyarakat yang sudah lemah!

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 52 other followers

%d bloggers like this: